Sofitel Kuala Lumpur Damansara

SOFITEL Kuala Lumpur Damansara menawarkan pengalaman berbuka puasa dalam suasana mewah sempena Ramadan kali ini.

Hotel mewah jenama Perancis ini bekerjasama dengan Cef Datuk Ismail Ahmad bagi menyediakan hidangan tradisional Melayu yang pastinya memenuhi cita rasa pengunjung Restoran Kwee Zeen yang dihiasi dengan dekorasi tradisional. Beliau akan bergandingan bersama Cef Eksekutifnya, Kim Gates.

Bufet berbuka puasa di Sofitel menyajikan lebih 80 jenis masakan, termasuk makanan laut segar, masakan China, India, Jepun dan barat.

Di sudut salad disediakan pecal, lawar jantung, rendang pucuk ubi, kerabu mangga muda, kerabu taugeh dan kerang, kerabu daging bakar dan banyak lagi sebagai pembuka selera.


Sajian utama pula ayam percik Kelantan, daging salai masak lemak cili padi, asam pedas ikan pari, sambal udang petai, dan telur itik masak lemak cili api.

Bufet turut menampilkan hidangan istimewa Cef Ismail iaitu sajian Diraja, ayam golek istana yang hanya disediakan di istana.

Penggemar manisan, terdapat pelbagai jenis sajian disediakan pulut durian and seri muka, cendol, pelbagai jenis kek dan pastri.


Ismail berkata, beliau cuba meningkatkan kepuasan pelanggan dengan menyedia sajian menggunakan bahan segar dan memasak masakan dengan kaedah tradisional untuk memastikan keasliaan rasa setiap masakan.

“Untuk menyediakan sajian terbaik ia perlu dilakukan dengan sabar dan memasaklah dari hati,” kata Ismail.


Masakan popular

Sementara itu, Pengurus Besar Sofitel Kuala Lumpur Damansara, Franck Loison, berkata untuk tahun ini, mereka menyediakan menu dengan menfokuskan kepada masakan popular dari seluruh Malaysia.

“Kesemua sajian tradisional Melayu ini disediakan seperti memasak di rumah dan dengan pertolongan Cef Ismail Ahmad, kami mahu membawa pelanggan ke dapur rumah di Malaysia,” katanya.


Sambil berbuka puasa dengan sajian yang enak, halwa telinga anda akan disajikan persembahan gamelan.

Turut disediakan kemudahan surau dan kemudahan tempat letak kereta.

Harga untuk bufet berbuka puasa adalah RM188 untuk dewasa dan RM94 bagi kanak-kanak.

Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, emel ke [email protected] atau hubungi 03 2720 6688.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 1:58 PM