ALIA Syafiqa (kanan) dan Alia Syafeza selepas disahkan mengalami masalah antibodi lemah.
ALIA Syafiqa (kanan) dan Alia Syafeza selepas disahkan mengalami masalah antibodi lemah.
Hajahfarhana Tarmudi

Bukan semua keluarga bertuah dikurniakan anak kembar dan ramai ibu bapa yang berkeinginan untuk merasai pengalaman itu. Pastinya, apabila disahkan hamil anak kembar terpancar kegembiraan berganda kerana persediaan menyambut bayi lebih daripada seorang.

Namun, bukan mudah bagi ibu bapa untuk menerima ketentuan apabila anak kembar yang dikandung dan dibesarkan hingga berusia 12 tahun itu hanya dipinjamkan dalam tempoh singkat.

Itu pengalaman dilalui Siti Jariah Dalimin dan suaminya, Efendi Naim. Mereka dikurniakan sepasang anak bongsu kembar, Alia Syafiqa dan Alia Syafeza yang kelahirannya disambut dengan penuh kesyukuran.

Sesungguhnya takdir Allah melebihi segalanya. Alia Syafeza meninggal dunia pada September tahun lalu manakala Alia Syafiqa dijemput Ilahi pada Oktober lalu. Biarpun kenangan manis yang dilalui bersama kembar tidak dapat dilupakan, mereka tetap reda dengan ketentuan Ilahi.

Manisnya mempunyai anak kembar memang sukar digambarkan. Bagaimanapun, tertulis takdir mereka tidak dapat hidup bersama dalam jangka masa lama apabila kedua-dua anaknya itu meninggal dunia akibat masalah antibodi rendah yang mungkin disebabkan penyakit genetik dalam keluarga.

“Lebih menyedihkan anak saya tidak pernah sakit atau masuk wad. Sakitnya itu tidak diketahui puncanya dan apabila diperiksa darahnya terlalu rendah.

“Perutnya membesar dan saya dapati anak mudah penat. Sebelum ini anak aktif menyertai pelbagai aktiviti sukan biarpun fizikalnya agak kecil berbanding rakan sebaya.

“Tiga minggu dimasukkan dalam wad dan diberi ubat antibodi. Hampir setahun saya berpisah dengan salah seorang kembar kerana dimasukkan ke wad,” katanya.

Sesi persekolahan kembar berlangsung seperti biasa sehingga usia mereka menjengah sembilan tahun. Dua beradik yang akrab itu mula tidak sihat dan kerap bercuti kerana banyak masa dihabiskan di hospital.

Siti Jariah bersyukur kerana suaminya juga membantu menjaga tiga anaknya yang lain di rumah saat dia perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada kembar ketika mereka berada di hospital.

Kembar pertama yang dimasukkan dalam wad adalah Alia Syafeza. Siti Jariah mengakui arwah anaknya itu sangat kuat, tabah dan sentiasa gembira ketika melawan penyakit, malah dia tidak pernah mengeluh kesakitan.

“Alia Syafiqa pula dimasukkan ke hospital selepas itu. Dia anak yang manja dan tidak tahan sakit. Memang tidak sampai hati melihat dia menahan sakit.

“Keadaan bertambah sedih apabila Alia Syafeza meninggal dunia dan saya tahu Alia Syafiqa sangat rindukan arwah kerana mereka tidak pernah berpisah.

“Sejak itu, saya tidak pernah tinggalkan dia seorang diri di rumah kerana tahu keadaannya yang sangat lemah. Hidup dia hanya di dalam rumah kerana daya tahan badannya tidak kuat,” katanya.

 ALIA Syafiqa bersama Siti Jariah.
ALIA Syafiqa bersama Siti Jariah.

Ingin jadi anak syurga

Jelasnya, anaknya tidak boleh dibawa ke tempat sesak atau dingin kerana dibimbangi mendapat penyakit daripada individu lain yang tidak sihat.

Dalam keadaan ini, tanya mana-mana ibu, pasti tidak sampai hati menolak permintaan si anak. Siti Jariah dan suaminya cuba memenuhi semua hajat Alia Syafiqa tidak kira sesukar manapun. Pada hari terakhir Alia Syafiqa, mereka menjemput ahli keluarga yang lain untuk turut sama meraikan sambutan hari lahirnya.

Walaupun lemah, dia masih mampu tersenyum dan menghembuskan nafas terakhir pada hari kelahirannya. Melihat air mata Siti Jariah yang tidak berhenti mengalir kala mengimbau kembali kenangan pada penghujung hayat Alia Syafiqa iaitu hari Isnin di mana dia dimasukkan ke hospital, hati penulis terasa seperti dihiris-hiris.

Katanya, arwah tidak dapat diberikan ubat kerana mengalami bengkak dari bawah pusat yang tidak surut disebabkan paru-parunya sudah dipenuhi air.

“Keesokan harinya, arwah tidak mahu tidur sepanjang malam dan sering bertanya bagaimana dia boleh menjadi anak syurga. Saya berikan kekuatan kepada anak dan menenangkan hatinya agar tidak takut jika pada bila-bila masa dijemput Ilahi.

“Rabu adalah hari terakhir saya dapat peluk arwah. Dia minta ubat kerana tidak tahan sakit. Permintaan terakhirnya untuk minum air, ketika itu air mata yang saya tahan tumpah juga akhirnya.

“Arwah kata, dia sangat sayangkan saya dan pada akhir hayatnya, dia tidak mahu tidur dan baring sebaliknya bersandar di bahu saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 2:27 PM