Gambar kenangan Siti Aishah Mohd Zamri ketika bertugas di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban sebelum berpindah ke Hospital Labuan. FOTO Ihsan Mohd Amin Mohd Zamri
Gambar kenangan Siti Aishah Mohd Zamri ketika bertugas di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban sebelum berpindah ke Hospital Labuan. FOTO Ihsan Mohd Amin Mohd Zamri
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: "Tugas kau mulia Cah, kau berkorban nyawa demi merawat pesakit dan kami berbangga dengan kau.

"Kami sekeluarga masih terkejut dengan kejadian ini apatah lagi arwah meninggal dunia bersama bayi sulung berusia tujuh bulan yang dikandungnya," kata Mohd Nur Amin Mohd Zamri, 25, dari Kampung Serting Tengah, di sini, hari ini.

Mohd Nur Amin berkata, kakaknya, Siti Aishah, 26, yang juga anak kedua daripada empat beradik merupakan jururawat di Hospital Labuan meninggal dunia pada jam 10.40 pagi semalam selepas dimasukkan ke wad, 26 Mei lalu.

Katanya, berdasarkan penjelasan arwah kakaknya itu sebelum ini, dia disahkan positif Covid-19 selepas menjadi kontak rapat kepada seorang pesakit yang menerima rawatan di wad.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa dengan Siti Aishah pada Januari lalu sebelum arwah bertukar ke Hospital Labuan berikutan suaminya, Leftenan Muhammad Iqmall Muhammad Sukri bertugas sebagai pegawai tentera udara di sana.

Mohd Nur Amin berkata, kali terakhir dia berhubung dengan arwah pada malam 30 Mei lalu menerusi aplikasi WhatsApp dan dia sempat memberikan kata-kata semangat kepada kakaknya itu.

"Arwah memberitahu masih demam, sakit kepala selain degupan jantungnya dan bayi dalam kandungan laju namun tidak mengalami sesak nafas.

Gambar kenangan Siti Aishah Mohd Zamri ( kanan) bersama suaminya.  FOTO Ihsan Mohd Amin Mohd Zamri
Gambar kenangan Siti Aishah Mohd Zamri ( kanan) bersama suaminya. FOTO Ihsan Mohd Amin Mohd Zamri

"Arwah kemudian menghubungi ibu dan ayah bagi meminta maaf selain mahu dihalalkan makan minum kerana arwah merasakan tidak akan bangun pada keesokan hari," katanya.

Menurutnya, pada jam 12 tengah hari, 31 Mei lalu, abang ipar menghubunginya memaklumkan arwah dimasukkan ke unit rawatan rapi akibat pendarahan di dalam perut namun bayi dikandungnya dikatakan berada dalam keadaan baik.

Mohd Nur Amin berkata, dia sekeluarga terkejut dengan perkhabaran itu namun pada masa sama berharap tiada apa-apa yang akan berlaku ke atas arwah kakaknya.

"Namun pada jam 11 pagi semalam, kami dikejutkan dengan panggilan abang ipar yang memaklumkan kakak sudah meninggal dunia bersama bayi yang dikandungnya.

"Permintaan keluarga untuk mengebumikan arwah kakak di sini tidak dapat dilaksanakan berikutan keadaan semasa Covid-19 selain faktor keselamatan kesihatan," katanya.

Menurutnya, arwah kakaknya selamat dikebumikan di Labuan pada jam 10 pagi tadi.

Biarpun kehilangan arwah, Mohd Nur Amin berkata, dia dan keluarga reda dengan kejadian ini malah turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas di Hospital Labuan dan Tentera Udara Diraja Malaysia yang mengambil berat ke atas arwah kakaknya ketika menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 8:32 PM