GUNA pelbagai produk dalam amalan penjagaan kecantikan mereka setiap hari.
GUNA pelbagai produk dalam amalan penjagaan kecantikan mereka setiap hari.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SEPERTI yang diketahui umum, wanita Korea terkenal dengan kecantikan kulit mereka yang tampak sempurna dan licin.

Kebanyakan mereka juga menghabiskan banyak masa dan wang dalam aspek penjagaan kulit selain prihatin berkaitan hal kecantikan serta kesihatan.

Walaupun rakyat negara berkenaan turut dikenali kerana menggemari pembedahan plastik, namun tidak semuanya begitu.

Terdapat juga wanita Korea yang menolak pembedahan plastik sebaliknya mereka hanya mengamalkan beberapa panduan dan amalan seperti berikut:

Kekal hidrat

Masyarakat Korea percaya bahawa penghidratan yang mencukupi dapat membantu untuk menjaga kesihatan dan kecantikan kulit.

Justeru, wanita Korea biasanya memulakan hari mereka dengan segelas air kosong sebelum mencuci wajah.

Mereka juga mengambil makanan kurang natrium dan banyak menikmati buah-buahan serta sayur-sayuran dalam diet harian.

Kaedah 424

Selebriti Korea, Bae Suzy pernah berkongsi teknik 424 untuk mencuci wajah iaitu empat minit membersih muka dengan minyak (kelapa, badam) diikuti pembersih berbuih selama dua minit kemudian bilas selama empat minit.

Ia boleh dimulakan dengan air suam dan akhiri dengan air sejuk untuk menutup semua liang pori yang terbuka.

Topeng wajah

Penggunaan 'mask' atau topeng wajah sememangnya popular dalam kalangan wanita di Korea.

Rutin gunakan topeng sebelum tidur dapat membantu menyegarkan kulit muka.

Selain itu, wanita di Korea juga gemar membuat sendiri 'masker' wajah daripada adunan putih telur dan campuran madu.

Tidur yang cukup

Tidak kira lelaki atau wanita, masyarakat Korea sememangnya mementingkan waktu tidur yang mencukupi sekurang-kurangnya enam atau lapan jam sehari.

Ini kerana tidur yang mencukupi penting bukan sahaja untuk kecantikan kulit malah kesihatan tubuh.

Produk penjagaan kulit

Korea antara negara yang menjadi pengeluar banyak produk penjagaan kulit popular di dunia.

Ia bukan sesuatu yang menghairankan kerana wanita di Korea Selatan menggunakan pelbagai produk dalam amalan penjagaan kecantikan mereka setiap hari.

Senaman regangan muka

Selain penjagaan kulit wajah, wanita di Korea juga mengamalkan senaman regangan muka untuk kesihatan otot di bahagian bibir dan pipi.

Solekan minimalis

Berbanding wanita di negara lain, wanita Korea tidak menggemari solekan tebal atau keterlaluan.

Namun wanita di negara terbabit mengutamakan solekan di bahagian mata terutama penggunaan penggaris mata, maskara, merapikan kening serta memakai sedikit pemerah pipi untuk menaikkan seri.

Untuk bibir pula, hanya menggunakan gincu rona pastel atau lembut sahaja.

Secara keseluruhan, wanita di Korea lebih mengutamakan aspek penjagaan kecantikan kulit berbanding solekan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 6:45 AM