PEMAKANAN sihat dan seimbang penting dalam mengawal paras gula darah.
PEMAKANAN sihat dan seimbang penting dalam mengawal paras gula darah.
WANITA hamil menghidap GDM membawa risiko jangka panjang diabetes jenis 2.
WANITA hamil menghidap GDM membawa risiko jangka panjang diabetes jenis 2.
LAKUKAN aktiviti kecergasan secara berkala untuk kesihatan unggul.
LAKUKAN aktiviti kecergasan secara berkala untuk kesihatan unggul.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Diabetes ialah kemudaratan kesihatan global yang semakin ketara menjejaskan kehidupan ramai orang setiap hari. Ketika ini Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) menganggarkan seramai 425 juta penghidap diabetes di seluruh dunia, iaitu seorang penghidap dalam setiap 11 orang dewasa.

Dalam kumpulan ini, satu daripada dua dewasa yang menghidap diabetes diandaikan belum didiagnos.

IDF yang sudah melancarkan Edisi Ke-8 Atlas Diabetes IDF meramalkan menjelang 2045, terdapat 629 juta penghidap diabetes, dengan perbelanjaan kesihatan berkaitan bakal melebihi RM3.2 trilion.

Diabetes mempunyai tahap kelaziman yang tinggi di Malaysia dengan 3.6 juta atau 17.5 peratus daripada rakyat disahkan sebagai pesakit diabetes jenis 2 dan 1.8 juta daripadanya adalah wanita.

Menurut tinjauan selidik yang dikendalikan pada 2015, dianggarkan seorang daripada lima dewasa Malaysia akan menghidap diabetes menjelang 2020.

Bagaimanapun, jumlah yang dilaporkan melebihi anggaran itu dan ini jelas menunjukkan pertumbuhan eksponen (menegak) penyakit berkenaan.

Menurut laporan terbaru daripada Daftar Obstetrik Nasional (2010), kadar kencing manis yang dihidapi wanita mengandung adalah 9.9.

Sempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada November setiap tahun, Novo Nordisk berusaha meningkatkan kesedaran mengenai diabetes bagi menggalakkan pencegahan dan pengesanan awal.

Sejajar dengan tema antarabangsa tahun ini, Wanita dan Diabetes, Novo Nordisk selaku organisasi yang bekerjasama dengan Hospital Putrajaya (HPJ) dalam inisiatif kesedaran awam berhasrat dapat mendidik rakyat Malaysia mengenai gestational diabetes mellitus (GDM) atau diabetes ketika hamil.

Ia termasuk mengenal pasti mereka yang menghadapi risiko lebih tinggi, cara menguruskan paras gula semasa hamil dan menekankan betapa pentingnya pemeriksaan.

Setiausaha Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia & Pakar Perunding Endokrin, Hospital Putrajaya Dr Nurain Mohd Noor berkata, GDM dihidap oleh perempuan hanya semasa hamil, tetapi ia membawa risiko jangka panjang untuk diabetes jenis 2 untuk ibu dan anak.

Katanya, risiko utama merangkumi perempuan yang lebih tua semasa mengandung, obesiti, sejarah diabetes dalam keluarga, GDM semasa kehamilan terdahulu, sejarah kematian bayi semasa lahir atau melahirkan bayi dengan kecacatan kongenital.

“Usaha meningkatkan kesedaran mengenai GDM dalam kalangan wanita dan suami mereka adalah amat penting untuk memastikan pengesanan dan pengurusan awal.

“Wanita yang terdedah kepada faktor risiko GDM hendaklah berunding dengan doktor jika bercadang untuk hamil bagi memastikan mereka mendapat bimbingan dan sokongan untuk menguruskan paras gula dalam darah,” katanya.

Naib Presiden Korporat, Rantau BAOS Novo Nordisk Sebnem Avsar Tuna berkata, laporan IDF terbaru menunjukkan pandemik diabetes terus meningkat bukan saja di Malaysia, tetapi juga mencapai tahap kritikal di peringkat global.

Katanya, dalam peringatan ulang tahun ke-10 Hari Diabetes Sedunia yang ditetapkan sebagai hari rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semua pihak diingatkan mengenai keperluan untuk terus bekerjasama bagi mencegah, mendiagnosis dan menguruskan diabetes dengan berkesan.

“Kami bangga dapat memberi sokongan kepada Hospital Putrajaya tahun ini sempena Hari Diabetes Sedunia, yang merangkumi ruang maklumat kesedaran awam untuk mendidik orang ramai mengenai risiko GDM dan cara mencegah perkembangannya, terutama jika anda tergolong dalam kategori yang berisiko,” katanya.

JOM MAMA

Usaha sama terbaru Novo Nordisk itu untuk meningkatkan kesedaran mengenai GDM, termasuk projek campur tangan prakehamilan yang unik, iaitu Jom Mama, inisiatif perkongsian awam-swasta dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan institusi penyelidikan antarabangsa seperti Universiti Southampton, United Kingdom, Universiti Witwatersrand, Afrika Selatan dan Steno Diabetes Centre, Denmark.

“Jom Mama ialah inisiatif prakehamilan untuk menguji jika campur tangan awal boleh membawa manfaat bagi memberikan permulaan yang sihat kepada ibu dan juga anak.

“Projek ini membabitkan pasangan muda dengan matlamat mendidik mereka untuk meningkatkan kesihatan sebelum hamil sebagai langkah mengurangkan bahaya diabetes gestasi dalam kalangan ibu dan juga diabetes Jenis 2 dalam generasi akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Feisul Idzwan turut menekankan kepentingan pencegahan terhadap penyakit itu.

Katanya, dengan peningkatan kadar insiden diabetes di Malaysia, semua pihak perlu mempercepatkan usaha pencegahan, pemeriksaan risiko awal dan pengurusan penyakit yang sesuai.

“Diabetes menjejaskan orang ramai dalam masyarakat kita dan ia adalah cabaran jangka panjang dan juga beban. Di Malaysia, 1.8 juta rakyat Malaysia yang mempunyai kencing manis tidak didiagnos dan Hari Diabetes Sedunia adalah platform penting

untuk meningkatkan kesedaran dan memupuk kerjasama bagi mewujudkan komitmen supaya orang ramai mempunyai akses kepada penjagaan,” katanya.

Walaupun penyakit ini akan menjejaskan kehidupan harian, ia bukanlah pengakhiran buat mereka. Sebaliknya jika pesakit mampu menjadikan gaya hidup sihat sebagai amalan, diabetes boleh dikawal.

TEKUN UBAH GAYA HIDUP

Bagi Amalina Aziz, 28, selepas didiagnos menghidap diabetes dengan bacaan paras gula darah 18 pada Ogos lalu, dia nekad mengubah hidupnya ke arah lebih sihat.

Katanya, doktor yang merawatnya ketika itu memberitahu risiko yang bakal dihadapi kerana bacaan paras gula yang terlalu tinggi selain berdepan pelbagai penyakit merbahaya seperti kegagalan buat pinggang.

“Dulu berat hampir 120 kilogram (kg) dan saya akui, selama bertahun-tahun saya mengabaikan diri sendiri dengan memakan makanan berkalori dan bergula tinggi, malah makanan segera dan air berkarbonat menjadi teman setia setiap hari.

“Atas nasihat doktor, saya akhirnya mengikuti program kecergasan dengan pelbagai regim senaman, mengawal pemakanan dan diet seimbang hingga berjaya menurunkan berat badan lebih 20kg dalam tempoh tiga bulan.

“Berkat usaha gigih itu, kini bacaan paras gula darah saya sekitar 3.9 ke 4 dan saya tidak lagi bergantung pada ubat diabetes. Kini saya jalani kehidupan lebih sempurna dan sihat,” katanya.

Bagi Mahani Husin, 62, dia didiagnosis menghidap diabetes sejak 20 tahun lalu ketika menginjak usia 40-an dan sejak itu lebih berwaspada terhadap pemakanannya.

Katanya, atas nasihat doktor, dia mengubah cara pemakanan selain mengaktifkan diri dengan membuat pelbagai kerja rumah seperti berkebun di keliling rumah sebagai senaman.

“Saya mengambil ubat yang dibekalkan hospital di samping mengamalkan minuman kesihatan seperti air sarang burung dan makan ulam-ulaman. Alhamdulillah bacaan paras gula darah menurun.

“Bacaan paras gula darah saya ketika ini sekitar 6 sebelum makan dan 8 selepas makan. Hasil mengawal makanan dan mengamalkan gaya hidup sihat, kesihatan saya bertambah baik meskipun pada usia 60-an,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 12:01 PM