UJIAN air gula untuk mengenal pasti ibu hamil mengalami diabetes gestasi. - FOTO Google
UJIAN air gula untuk mengenal pasti ibu hamil mengalami diabetes gestasi. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


MINUM air gula ketika hamil adalah sesuatu yang biasa didengar dan ia bukan perkara yang digemari segelintir individu.

Rasa mahu termuntah dan mengganggu selera si ibu sebaik meneguknya juga antara pengalaman sukar dilupakan.

Perunding Sakit Puan dan Pakar Kesuburan Metro IVF, Dr Senthi N Muthuraman berkata, ujian Modified Glucose Tolerance Test (MGTT) atau lebih dikenali sebagai ujian air gula cukup membuatkan ibu hamil pernah melaluinya berasa loya.

Jelasnya, namun prosedur ini amat penting untuk mengenal pasti ibu yang hamil mempunyai risiko untuk mengalami kencing manis atau diabetes gestasi.

"Ketika ibu hamil, pelbagai hormon termasuk estrogen, kortisol dan laktogen plasenta dihasilkan uri. Uri membekalkan zat makanan kepada bayi melalui tali pusat.

"Penambahan hormon dan berat badan yang dialami boleh menyebabkan keadaan kesihatan wanita itu tidak dapat mengatur kadar gula dalam darah," katanya.

Tambahnya, justeru tahap glukosa sentiasa berada tahap yang tinggi dan memberikan kesan sampingan kepada ibu dan bayi terutama fasa terakhir kehamilan.

"Oleh itu, ketika jadual lawatan berkala dan pemeriksaan ulangan kehamilan penting untuk memastikan kesihatan bayi berada dalam keadaan optimum," katanya.

Jelasnya, sekiranya ibu hamil tidak melalui ujian air gula mereka cenderung untuk mengalami diabetes atau dikenali sebagai Gestational Diabetes Mellitus (GDM).

PEMERIKSAAN kandungan berkala perlu dilakukan. - FOTO Google
PEMERIKSAAN kandungan berkala perlu dilakukan. - FOTO Google

MAKAN makanan berkhasiat penting untuk ibu mengandung. - FOTO Google
MAKAN makanan berkhasiat penting untuk ibu mengandung. - FOTO Google

"Ia adalah satu keadaan yang berlaku kepada wanita hamil yang sebelum ini tidak menghidap diabetes, tetapi mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi dari ibu hamil yang lain," katanya.

Tambahnya, jika ada yang cuba untuk tidak melalui ujian ini, keadaan glukos yang tinggi akan menyebabkan isu serius kepada bayi seperti keguguran kelahiran pramatang, air mentuban (ketuban) yang banyak (polihidramnios)

"Tidak sekadar itu, berpotensi berlaku ibu hamil dengan bayi besar (makrosomia), risiko kematian bayi dalam kandungan secara tiba-tiba dan masalah jantung dan tulang belakang bayi," katanya.

Pakar itu berkata, bacaan paras glukosa darah yang disyorkan ialah 5.3 mmol/L atau kurang ketika berpuasa dan sebelum makan.

"Bacaan di bawah 7.8 mmol/L biasanya dianggap normal untuk ujian Oral Glucose Tolerance Test (OGTT) ini, tetapi doktor mungkin akan mengulangi ujian itu jika anda berisiko tinggi," katanya.

Ditanya mengenai cara untuk mengurangkan rasa kurang selesa sebelum ujian air gula, katanya, ibu perlu berpuasa bermula jam 10 malam sebelum ujian air gula dijadualkan.

"Datang awal pagi untuk ujian air gula. Ada dua ujian dilakukan dan ibu tidak boleh makan sehingga selesai ujian darah yang kedua.

"Minum air gula ketika masih suam untuk mengelakkan air gula menjadi likat dan berkumur selepas ujian air gula," katanya.

Dr Senthi berkata, doktor akan menasihatkan supaya mengikuti pelan pemakanan yang sesuai dan meningkatkan aktiviti fizikal supaya paras glukosa darah yang tinggi dapat dikurangkan.

"Karbohidrat kompleks seperti bijirin, kekacang, peas, sayur-sayuran dan makanan berkanji. Mengambil makanan yang kaya serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan roti gandum tulen.

"Pasti diet yang rendah lemak dan elakkan makanan yang bergoreng," katanya.

Jelasnya, pemantauan paras glukosa darah yang kerap di samping mengamalkan diet sihat dan bersenam mampu untuk mengawal tahap GDM dan mengurangkan risiko terhadap anda dan bayi.

"Namun, jika kadar glukosa tidak terkawal, segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan bersesuaian seperti insulin atau ubat-ubatan demi menjamin kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan sentiasa selamat dan sihat," katanya.

Saranan wanita hamil yang memerlukan ujian air gula termasuk:

1. Wanita berumur 35 tahun ke atas kerana wanita berusia mempunyai risiko yang tinggi berbanding wanita muda.

2. Mempunyai sejarah keluarga kencing manis.

3. Tergolong dalam kategori obes dengan piaiwaian BMI melebihi 30.

4. Pernah hamil bayi yang besar melebihi 4.0 kilogram.

5. Sering mengalami keguguran.

6. Sejarah bayi meninggal ketika dalam kandungan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 7:01 AM