IBU hamil berisiko mendapat penyakit diabetes mellitus jenis 2 selepas melahirkan anak.
IBU hamil berisiko mendapat penyakit diabetes mellitus jenis 2 selepas melahirkan anak.
Aniza Zainudin


Berada di kedudukan kesembilan sebagai ‘pembunuh’ wanita di seluruh dunia dengan catatan 2.1 juta kematian, Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil tindakan proaktif dalam meningkatkan kesedaran mengenai penyakit diabetes sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia pada 14 November lalu.

Bersesuaian dengan tema Wanita dan Diabetes: Kesihatan Kita, Milik Kita, Hak Kita; Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kempen tahun ini fokus kepada wanita untuk menerima akses penjagaan dan pengetahuan lengkap dalam mengawal diabetes.

Statistik terbaru 2016 menunjukkan seramai 3.6 juta penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas adalah penghidap diabetes dan daripada jumlah berkenaan, seramai 1.8 juta adalah wanita.

“Kementerian komited memberikan akses penjagaan dan maklumat yang cukup supaya wanita mampu mengawal diabetes.

“Ini merangkumi golongan wanita mengandung untuk mendapatkan saringan, didikan dan penjagaan terbaik demi kesihatan ibu serta anak dalam kandungan.

“Bagi semua ibu hamil yang berisiko, mereka disarankan melakukan saringan diabetes mellitus gestasi (GDM) antara minggu ke-24 hingga 28 kehamilan dengan ujian ‘modified’ toleransi glukosa oral (mOGTT).

“Manakala, pesakit diabetes yang mahu hamil, perlu menghadiri kaunseling prakehamilan sebelum hamil supaya mereka mampu mengawal paras gula dalam darah dengan lebih baik sebelum dan sewaktu kehamilan,” katanya.

Bagi ibu hamil yang berisiko perlu melakukan ujian OGTT untuk memeriksa tindakan balas badan ibu mengawal tahap gula dalam darah sekali gus mengenal pasti penyakit kencing manis ketika hamil.

Berdasarkan kajian Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat, ibu yang hamil bersama diabetes memiliki risiko tinggi antara 20 hingga 50 peratus untuk mendapat penyakit diabetes mellitus (jenis 2) berterusan dalam tempoh lima hingga 10 tahun selepas melahirkan anak.

Untuk mengurangkan risiko penyakit ini, wanita perlu menjalani pemeriksaan gula dalam darah secara tahunan selepas bersalin.

Selain itu, mereka perlu fokus pada penjagaan kesihatan, pemakanan seimbang dan gaya hidup aktif.

Bagi pesakit diabetes mellitus jenis 1 (IDDM) yang berhasrat untuk memiliki cahaya mata pula, mereka perlu mendapatkan khidmat runding daripada pakar perubatan pelbagai bidang selain obstetrik dan ginekologi.

Ini kerana mereka berdepan risiko keguguran atau bayi dilahirkan dengan kecacatan, serta mendapat penyakit jantung 10 kali ganda berbanding ibu normal.

Antara perkara perlu dititikberatkan ketika hamil termasuklah imbasan terhadap pemeriksaan fizikal, darah, air kencing dalam menjaga kesuburan kandungan.

Selain mengamalkan gaya hidup aktif, golongan ibu perlu mengambil makanan berserat untuk kesihatan jantung mereka dan mengurangkan makanan bergula, berlemak serta berminyak.

Peningkatan kes diabetes antara penyakit kronik yang kian membimbangkan, justeru KKM menyambut baik inisiatif daripada pelbagai pihak untuk bersama-sama membantu menyebarkan kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya penyakit diabetes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 1:20 AM