MELAKUKAN pemantauan paras glukosa darah dengan kerap adalah penting bagi memastikan paras gula darah sentiasa berada pada tahap normal.
MELAKUKAN pemantauan paras glukosa darah dengan kerap adalah penting bagi memastikan paras gula darah sentiasa berada pada tahap normal.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


WANITA hamil yang mengalami masalah diabetes ketika mengandung atau diabetes dalam kandungan (Gestational Diabetes Mellitus - GDM) tidak diwajibkan untuk berpuasa.

Malah, wanita yang dirawat dengan insulin juga tidak digalakkan untuk berpuasa bagi mengurangkan risiko kepada ibu dan bayi yang dikandung.

Pakar Endokrinologi, Hospital KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital, Dr Chooi Kheng Chiew berkata, wanita hamil yang mengalami GDM, tetapi tidak dirawat dengan insulin mungkin boleh berpuasa selepas dinilai pakar perubatan.

Kata Dr Chooi, mereka juga memantau paras gula secara kerap dan menuruti nasihat doktor dan pakar pemakanan.

Katanya, wanita hamil yang mengalami GDM juga tidak seharusnya meninggalkan makan sahur dan jangan sesekali melambatkan waktu berbuka.

"Antara pemakanan yang sesuai dan digalakkan diambil ketika bersahur atau berbuka adalah sayur-sayuran serta buah-buahan termasuk karbohidrat yang berserat tinggi.

"Makanan yang tinggi kandungan garam, bergoreng atau berlemak perlu dihadkan dan lebih penting, minum air dengan secukupnya," katanya.

Dr Chooi berkata, diabetes ketika hamil adalah keadaan yang dialami wanita hamil yang tidak menghidap kencing manis sebelum hamil, tetapi dikesan mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi daripada normal.

Katanya, statistik pada 2012 menunjukkan bahawa sebanyak lapan peratus wanita mengandung didapati menghidap GDM.

"Ketika seorang wanita hamil, pelbagai hormon dihasilkan oleh uri atau plasenta yang boleh menjejaskan fungsi dan keberkesanan hormon insulin dalam badan untuk mengawal paras gula badan.

"Ini juga dikenali sebagai rintangan insulin. Apabila plasenta semakin membesar, lebih banyak hormon penghalang seperti kortisol, estrogen dan 'human placental lactogen' yang dikeluarkan dan ini menyebabkan rintangan terhadap tindakan insulin meningkat lebih tinggi lagi," katanya.

Jelas beliau, pankreas iaitu salah satu organ yang terletak di belakang perut terpaksa menghasilkan lebih banyak insulin untuk mengatasi rintangan terhadap fungsi insulin.

Insulin yang dihasilkan pankreas itu membantu untuk mengawal kuantiti gula dalam darah dan membolehkan badan seseorang menyimpan glukosa yang tidak diperlukan serta-merta untuk menghasilkan tenaga.

WANITA yang dirawat dengan insulin juga tidak digalakkan berpuasa bagi mengurangkan risiko kepada ibu dan bayi dikandung.
WANITA yang dirawat dengan insulin juga tidak digalakkan berpuasa bagi mengurangkan risiko kepada ibu dan bayi dikandung.

Katanya, jika usaha itu tidak mencukupi atau gagal, paras glukosa dalam badan akan naik dan diabetes ketika hamil akan berlaku, namun kebiasaannya pesakit pulih selepas anak dilahirkan.

"Begitupun, pesakit juga akan menghadapi risiko lebih tinggi untuk menghidap kencing manis di kemudian hari, justeru saringan atau pemeriksaan berkala perlu dilaksanakan untuk mengesan kencing manis selepas bersalin," katanya.

Menurut Dr Chooi, wanita yang sihat sebelum hamil turut mempunyai risiko menghidap GDM, namun beberapa faktor meningkatkan lagi kemungkinan itu.

Antaranya masalah berat badan berlebihan atau mempunyai saudara rapat yang menghidap kencing manis.

"Risiko tinggi juga jika wanita berkenaan pernah menghidap GDM sebelum ini dan pernah melahirkan bayi bersaiz besar (lebih daripada empat kilogram (kg), bayi yang cacat atau mati ketika lahir.

"Selain itu, faktor usia dan mengalami masalah lain yang berkaitan ketika hamil seperti hipertensi ataupun penghasilan cecair amniotik atau air ketuban yang berlebihan turut meningkatkan risiko berkenaan," katanya.

Dr Chooi berkata, ramai wanita yang menghidap diabetes ketika hamil tidak menunjukkan sebarang tanda amaran, tetapi sesetengah daripada mereka akan merasa dahaga, letih dan kerap membuang air kecil.

Kata beliau, wanita hamil yang berisiko disarankan untuk menjalankan ujian 'oral glucose tolerance test' (OGTT) atau juga dikenali sebagai ujian minum air gula bagi memeriksa tindak balas badan dan keupayaan badan mengawal tahap gula darah selain mengesan adanya diabetes ketika hamil.

Katanya, panduan doktor perubatan di negara ini menyarankan wanita hamil yang ada faktor risiko untuk menghidap diabetes ketika hamil perlu menjalankan ujian OGTT pada lawatan pertama (booking visit) ke klinik untuk rawatan antenatal.

PESAKIT perlu mendapatkan nasihat dan rawatan daripada pakar perubatan bertauliah.
PESAKIT perlu mendapatkan nasihat dan rawatan daripada pakar perubatan bertauliah.

"Jika keputusan negatif, ujian itu boleh diulangi pada bulan keenam hingga ketujuh (atau minggu 24 ke 28) kehamilan

dan ia penting untuk membolehkan pengesanan serta penjagaan awal.

"Bagi wanita berumur 25 tahun dan ke atas yang tidak mempunyai faktor risiko untuk menghidap diabetes ketika hamil, ujian itu boleh dilakukan pada bulan keenam hingga ketujuh," katanya.

Menurut beliau, semua ibu yang dikehendaki melalui prosedur OGTT perlu berpuasa sekurang-kurangnya lapan jam sebelum prosedur.

"Selepas pengambilan darah pertama, air gula akan diberikan. Selepas dua jam, pengambilan darah kali kedua dilaksanakan.

"Jika paras gula melebihi tahap tertentu, wanita terbabit disahkan menghidap diabetes ketika hamil," katanya.

Sementara itu, Dr Chooi berkata, wanita yang menghidap GDM mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami komplikasi ketika mengandung antaranya keguguran, kecacatan bayi, kelahiran pramatang dan makrosomia iaitu bayi yang lahir dengan berat empat kg atau lebih.

Ia juga boleh menyebabkan si ibu sukar untuk bersalin secara biasa dan meninggikan keperluan menjalani pembedahan untuk melahirkan bayi.

"Selain itu, bayi yang dilahirkan juga mempunyai risiko tinggi untuk mengalami masalah pernafasan dan cenderung menjadi obes atau menghidap kencing manis pada masa hadapan," katanya.

Bagi menanganinya, Dr Chooi berkata, terdapat beberapa kaedah rawatan untuk ibu hamil yang mengidap GDM, antaranya mengambil langkah perlu bagi memastikan paras glukosa darah sentiasa berada di paras normal atau optimal ketika mengandung.

Katanya, pesakit juga perlu mengikuti rancangan pemakanan yang sesuai mengikut nasihat daripada pakar pemakanan dan aktif melakukan aktiviti fizikal yang disarankan supaya paras glukosa darah dapat dikawal dalam julat selamat.

"Melakukan pemantauan paras glukosa darah dengan kerap adalah penting bagi memastikan paras gula darah sentiasa berada pada tahap normal.

"Ada juga pesakit yang memerlukan rawatan ubat atau suntikan insulin selain daripada amalan pemakanan sihat untuk mencapai paras glukosa darah yang disarankan.

"Apapun, pesakit perlu mendapatkan nasihat dan rawatan daripada pakar perubatan bertauliah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 7:00 AM