BANGUNAN Perdana Putra dilimpahi cahaya biru sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada jururawat dan petugas  barisan hadapan yang terus memberi perkhidmatan penjagaan diabetes dan penyakit kronik di Malaysia. FOTO Bernama
BANGUNAN Perdana Putra dilimpahi cahaya biru sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada jururawat dan petugas barisan hadapan yang terus memberi perkhidmatan penjagaan diabetes dan penyakit kronik di Malaysia. FOTO Bernama
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Bangunan dan persekitaran di Putrajaya dilimpahi cahaya berwarna biru sebagai tanda sokongan kepada sambutan Hari Diabetes Sedunia yang disambut esok.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, limpahan cahaya menerusi Kempen 'LightUpBlue@Putrajaya itu secara tidak langsung meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai masalah diabetes yang semakin meningkat di negara ini.

Dr Noor Azmi berkata, ia juga bagi menghargai peranan jururawat sebagai petugas barisan hadapan yang menyokong usaha mencegah dan mengawal penyakit diabetes di negara ini.

"Pencahayaan bangunan dan struktur ikonik di seluruh dunia dengan warna biru sering dikaitkan dengan Hari Diabetes Sedunia. Pencahayaan bangunan dan struktur ini menghantar mesej visual yang jelas dan meletakkan diabetes dalam agenda utama seluruh negara.

"Kini, seramai 3.8 juta orang dewasa menghidap diabetes di Malaysia dan jururawat kita memainkan peranan yang sangat penting dalam pencegahan, saringan, rawatan dan pemulihan pesakit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Azmi turut menyampaikan penghargaannya kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) yang bersetuju menerangi bangunan dan persekitaran Putrajaya dengan warna biru bermula semalam sehingga 15 November ini.

"Selain memberi kesedaran kepada orang ramai, limpahan cahaya berwarna biru ini juga dapat menarik perhatian penghidap diabetes untuk terus menjaga kesihatan mereka," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden dan Pengurus Besar Novo Nordisk Malaysia, Singapura, dan Brunei, Richard Abela berkata, pihaknya berbangga serta menyokong dengan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memperingati Hari Diabetes Sedunia pada tahun ini.

"Dengan meningkatnya prevalen diabetes di Malaysia, kita harus mempergiatkan usaha pencegahan, diagnosis awal dan pengurusan penyakit yang berkesan.

"Hari Diabetes Sedunia adalah platform penting meningkatkan kesedaran dan komitmen bagi memastikan masyarakat mendapat akses kepada saringan dan rawatan.

"Melalui usaha bersepadu ini, kami berharap ia dapat memberi kesan yang berkekalan dan mampu mengubah landskap diabetes di Malaysia," katanya.

Hari Diabetes Sedunia yang diasaskan oleh Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu kini menjadi platform global untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit berkenaan.

Pada tahun ini, Sambutan Hari Diabetes Sedunia bertemakan 'Jururawat Nadi Perubahan'.

Orang ramai boleh memberi sokongan terhadap Hari Diabetes Sedunia dengan mengambil berswafoto di kawasan dilimpahi cahaya biru dan memuat naik ke laman media sosial menggunakan #JururawatNadiPerubahan dan #HariDiabetesSedunia2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 11:26 AM