IBU yang mempunyai kencing manis ketika mengandung, dikategorikan sebagai kumpulan yang mempunyai risiko tinggi untuk berpuasa.
IBU yang mempunyai kencing manis ketika mengandung, dikategorikan sebagai kumpulan yang mempunyai risiko tinggi untuk berpuasa.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Ketibaan bulan penuh kemuliaan, Ramadan sememangnya dinantikan semua umat Islam, tidak kira tua atau muda.

Dengan ganjaran pahala berganda, ramai yang berlumba-lumba melakukan ibadah dan amalan kebaikan.

Namun, bagi wanita, secara biologinya mempunyai keterbatasan atau kekangan dalam melaksanakan ibadah termasuk puasa disebabkan keuzuran seperti didatangi haid, hamil atau mempunyai masalah kesihatan tertentu seperti diabetes ketika hamil (Gestational Diabetes Mellitus (GDM).

Menurut Pakar Dietetik Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Nabihah Hannan Razaleigh, ibu hamil yang mempunyai kencing manis ketika mengandung dikategorikan sebagai kumpulan yang mempunyai risiko tinggi untuk berpuasa.

Justeru kata Nabihah, jika mereka ingin berpuasa, bakal ibu perlu melakukan penilaian pra-Ramadan untuk mengetahui tahap keselamatan berpuasa pada kehamilan mereka terlebih dahulu.

PERLU minum air masak secukupnya.
PERLU minum air masak secukupnya.

"Penting untuk mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu jika ibu hamil yang ada GDM ingin berpuasa.

"Mereka perlu mendapat kaunseling mengenai penjagaan gula ketika berpuasa, perubahan dari segi dos ubat atau insulin jika perlu dan nasihat mengenai pemakanan yang sesuai.

"Ibu hamil yang ada GDM juga perlu kerap memantau bacaan paras gula terutama sebelum dan selepas sahur, pada waktu tengah hari, selepas berbuka dan sebelum tidur bagi memastikan semuanya terkawal," katanya.

Menurut Nabihah lagi, dari segi pemakanan pula, secara amnya penting untuk ibu mengandung mengamalkan pemakanan sihat dengan mengambil kalori dan nutrisi secukupnya.

MAKANAN tinggi garam, minuman berkafien atau makanan mahupun minuman mengandungi paras gula tinggi perlu dielakkan.
MAKANAN tinggi garam, minuman berkafien atau makanan mahupun minuman mengandungi paras gula tinggi perlu dielakkan.

Selain itu, kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kalori supaya berat badan tidak naik secara berlebihan.

Kata Nabihah lagi, pengambilan karbohidrat kompleks sebagai sumber karbohidrat utama seperti bijirin penuh, kekacang, nasi, mee dan sebagainya dapat membekalkan tenaga yang secukupnya sepanjang hari.

"Wanita hamil yang ada GDM dan mahu berpuasa juga digalakkan mengambil makanan yang tinggi dengan serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh dengan secukupnya.

"Mereka perlu mengelakkan pengambilan air atau makanan manis atau yang mengandungi paras gula tinggi, makanan tinggi garam dan minuman berkafein.

NABIHAH
NABIHAH

"Sebaiknya minum air masak yang secukupnya dalam dua atau tiga liter sehari (kira-kira lapan gelas sehari ) selain perlu bersahur dan berbuka puasa dengan secepatnya (tidak berlengah)," katanya.

Sementara itu, Nabihah berkata, jika ada kemusykilan, segera berjumpa dengan pegawai dietetik.

Ia bagi mendapatkan nasihat secara individu mengenai pemakanan sesuai untuk ibu mengandung yang mempunyai kencing manis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 7:00 AM