Yusliza Yakimir Abd Talib


Ramai yang tidak menyedari kepentingan kitar semula terhadap alam sekitar. Selain kertas, tin aluminium dan kaca, pakaian juga sebenarnya boleh dikitar semula.

Biasanya pakaian lama atau baju terpakai berakhir dalam tong sampah atau setidak-tidaknya dijadikan kain perca atau kain lap selain alas kaki.

Dalam usaha mengitar semula pakaian lama yang sudah tidak dipakai, gedung pakaian terkenal, H&M Malaysia meneruskan kerjasama dengan perkhidmatan pengangkutan, Grab, melancarkan kempen kitar semula pakaian susulan kejayaannya tahun lalu.

Kempen itu menawarkan pengguna untuk menyerahkan dan menderma pakaian terpakai atau yang tidak diperlukan ke mana-mana gedung H&M.

Sejak 2013, H&M mengalu-galukan apa jua jenis pakaian dan kain tanpa mengira jenama dan keadaan yang tidak dimahukan untuk mereka kitar semula.

Melalui inisiatif global pengumpulan pakaian ini, H&M berjaya mengumpulkan lebih 49,000 tan pakaian dan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan mengitar semula pakaian terpakai dan mengurangkan pembuangan sampah di pusat pelupusan.

Menariknya, sepanjang kempen berlangsung bermula 18 hingga 20 Ogos lalu, pengguna Grab juga boleh membuat tempahan untuk mengutip pakaian yang mahu diserahkan di mana-mana lokasi H&M sekitar Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang setiap hari bermula jam 11 pagi hingga 3 petang.

Selain dapat menabur nilai murni, pengguna juga menerima baucar diskaun 15 peratus H&M untuk setiap beg pakaian terpakai yang didermakan kepada pemandu Grab.

Menyahut cabaran untuk menjadikan bumi lebih hijau, matlamat H&M untuk meningkatkan kutipan pakaian terpakai atau tidak dimahukan setiap tahun hingga mencapai sasaran 25,000 tan secara tahunan menjelang 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 12:01 AM