ANGGOTA Briged Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas. FOTO Fail AFP.
ANGGOTA Briged Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas. FOTO Fail AFP.
Agensi

Baitulmaqdis: Kumpulan pejuang Hamas akan mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai gencatan senjata di Gaza sekiranya, Israel mengambil pendekatan sama.

"Sekiranya ICJ yang berpangkalan di The Hague mengeluarkan keputusan gencatan senjata, Pergerakan Hamas akan mematuhinya selagi musuh melakukan perkara sama.

"Hamas juga akan membebaskan tawanan Israel yang dalam tahanan kami, jika negara penjajah itu membebaskan tahanan Palestin dari penjara Israel," kata Hamas dalam satu kenyataan, semalam.

Kumpulan itu dipercayai menahan 136 warga Israel susulan serangan mengejut 7 Oktober lalu.

Menurut Hamas, gerakan itu mengikuti perbicaraan di ICJ dengan penuh minat selepas Afrika Selatan memfailkan kes genosid terhadap Israel.

Mahkamah dunia itu dijangka mengumumkan keputusan berhubung tuntutan langkah sementara difailkan Afrika Selatan pada 1 tengah hari (1200 GMT) waktu tempatan, hari ini.

Bagaimanapun mahkamah dunia itu dijangka tidak menyentuh persoalan utama sama ada Israel melakukan genosid kerana memerlukan perbincangan lanjut.

Pada 19 Disember lalu, Afrika Selatan memfailkan sembilan injunksi terhadap Israel atas alasan serangan Tel Aviv ke atas Gaza melanggar Konvensyen Genosid.

Perbicaraan mengenainya berlangsung selama dua hari bermula 11 Januari lalu.

Sembilan injunksi sementara itu termasuk Israel menghentikan serta-merta operasi ketenteraannya di Gaza, mengambil langkah munasabah untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Tuntutan itu turut memastikan mereka yang kehilangan tempat tinggal kembali ke rumah mereka dan mendapat akses kepada bantuan kemanusiaan termasuk makanan mencukupi, bekalan air, bahan api, perubatan dan kebersihan, tempat tinggal dan pakaian.

Afrika Selatan turut menuntut tindakan tegas bagi menghukum mereka yang terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai dan mengekalkan bukti genosid itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 12:29 PM