PENUNJUK perasaan pro-Palestin berkumpu di hadapan ICJ ketika hakim mendengar tuntutan Afrika Selatan dalam kes genosid Israel, 12 Januari lalu. FOTO Reuters.
PENUNJUK perasaan pro-Palestin berkumpu di hadapan ICJ ketika hakim mendengar tuntutan Afrika Selatan dalam kes genosid Israel, 12 Januari lalu. FOTO Reuters.
Agensi

The Hague: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) semalam mengumumkan akan menyampaikan keputusan berhubung tuntutan Afrika Selatan dalam kes genosid terhadap Israel, esok.

ICJ dalam kenyataan berkata, keputusan itu akan diperdengar dalam persidangan awam yang berlangsung di Peace Palace di The Hague, Belanda.

"Presiden mahkamah akan menyampaikan keputusan untuk tuntutan langkah sementara (kecemasan) dikemukakan Afrika Selatan dalam kes pembunuhan beramai-ramai terhadap Israel," menurut kenyataan.

Pada 29 Disember lalu, Afrika Selatan memfailkan tuntutan di ICJ meminta injunksi terhadap Israel atas serangan ke atas Gaza berikutan melanggar Konvensyen Genosid.

Afrika Selatan menuntut ICJ memberikan sembilan injunksi sementara, termasuk Israel menghentikan serta-merta operasi ketenteraannya di Gaza, mengambil langkah munasabah untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin, memastikan pelarian pulang ke rumah mereka.

Selain itu, membenarkan rakyat Palestin mendapat akses kepada bantuan kemanusiaan mencukupi termasuk makanan, air, bahan api, bekalan perubatan dan kebersihan, tempat tinggal dan pakaian serta mengambil langkah yang perlu untuk menghukum mereka yang terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai dan mengekalkan bukti pembunuhan beramai-ramai.

Afrika Selatan juga meminta ICJ selaku mahkamah dunia membenarkan injunksi itu kerana keadaan mendesak.

Mahkamah mula meneliti hujahan dan keterangan daripada semua pihak berkait selepas selesai pendengaran pada 11 hingga 12 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 12:16 PM