RAKYAT Palestin mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan, FOTO AFP
RAKYAT Palestin mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan, FOTO AFP
Bernama-Anadolu

The Hague: Ketika tempoh sebulan untuk Israel menghentikan kemungkinan pembunuhan beramai-ramai di Gaza-seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bakal berakhir, dan Tel Aviv dijangka menyerahkan laporan mengenai langkah yang sudah diambilnya pada Isnin.

Walaupun keputusan awal di The Hague menuntut Israel mengambil langkah untuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di bawah Konvensyen Genosid 1948, namun 3,523 lagi rakyat Palestin terbunuh oleh serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak diputuskan pada 26 Januari, dengan jumlah kematian hampir 30,000, yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, lapor agensi Anadolu.

Tel Aviv, yang menafikan tuduhan pembunuhan beramai-ramai dalam kes yang difailkan oleh Afrika Selatan akhir tahun lalu, dikehendaki memberi laporan kepada ICJ mengenai semua langkah yang sudah diambil untuk melaksanakan keputusan mahkamah.

Israel terus menyasarkan hospital dan sekolah yang menjadi lokasi penduduk Palestin berlindung di Gaza, serta infrastruktur awam, dituduh meningkatkan serangannya walaupun sudah diperintah mahkamah.

Dalam tempoh sebulan selepas mahkamah mengeluarkan langkah sementara itu, serangan Israel membunuh lebih 100 rakyat Palestin setiap hari di Gaza, iaitu 1,660 kanak-kanak dan 1,070 wanita.

Di samping jumlah kematian, beribu-ribu juga tidak dapat dikesan dikhuatiri maut di bawah runtuhan.

Mahkamah juga mengarahkan Israel mengambil langkah untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan di kawasan Palestin yang terkepung.

Tetapi Agensi Bantuan dan Kerja Raya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) melaporkan pada 14 Februari bilangan trak bantuan yang memasuki Gaza kurang jauh di bawah paras sasaran harian iaitu 500.

Ada halangan besar yang terus menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan melalui pintu Kerem Shalom dan Rafah di Gaza.

Sebelum Israel melancarkan serangan dan meningkatkan sekatan ke atas Gaza, wilayah itu menerima antara 500 hingga 600 trak setiap hari, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA).

Tetapi pada Februari, kemasukan trak harian turun kepada kurang 10 pada beberapa hari.

Kekurangan keperluan asas diburukkan lagi dengan fakta lebih dua juta kehilangan tempat tinggal di Gaza akibat serangan Israel.

Pada 7 Februari, UNRWA mengumumkan beberapa trak yang membawa bantuan makanan ke Gaza dibom yang didakwa dilakukan tentera Israel, dua hari sebelumnya.

Afrika Selatan memfailkan kes ICJ terhadap Israel pada 29 Disember, mendakwa bahawa Israel melanggar Konvensyen PBB mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid 1948.

Afrika Selatan meminta mahkamah dunia mengeluarkan langkah sementara berikutan keadaan mendesak di Gaza, dengan perbicaraan mengenai permintaan itu diadakan pada 11 pada 12 Januari di Istana Keamanan di The Hague.

ICJ kemudian mengarahkan Israel untuk mengambil semua langkah yang perlu untuk menghalang tindakan yang ditakrifkan dalam Perkara 2 Konvensyen Genosid, untuk mencegah, menghalang, dan menghukum mereka yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza, sekali gus membaiki taraf kehidupan dengan menyediakan perkhidmatan penting dan bantuan kemanusiaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 3:35 PM