GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Dublin: Tertinggal kotak ubat tertera alamat ketika melakukan rompakan di sebuah rumah menjadi petunjuk kepada penahanan seorang lelaki di Ireland, sekali gus menjadi bukti penting pendakwaan di mahkamah.

Mirror UK melaporkan, Sean Foster dijatuhi hukuman tiga tahun dengan selepas hadir dalam perbicaraan di Mahkamah Belfast Crown.

Lelaki berusia 31 tahun dari New Barnsley Park di West Belfast, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan daripada dua insiden berasingan.

Mahkamah mendengar pada 20 September 2021, Foster menghadiri pesta rumah di bandar dan mencuri kad bank daripada beg tangan.

Dia ditangkap lewat hari itu selepas cuba mencuri pelurus rambut dari sebuah kedai.

Insiden kedua membabitkan Foster berlaku pada 7 Februari tahun lalu apabila lelaki itu memecah masuk sebuah rumah di Brighton Street di Belfast bersenjatakan pemutar skru.

Penghuni lelaki di rumah itu berdepan Foster di dapur dan diugut dengan pemutar skru.

Pergelutan antara dua lelaki itu berlaku dan Foster melarikan diri dari tempat kejadian.

Kot dipakai Foster tertanggal ketika bergelut dan meninggalkan kedua-dua pemutar skru serta kotak ubat tertera alamatnya di tempat kejadian yang menyebabkan dia diberkas polis.

Defendan mengaku bersalah atas kecurian kad bank dan pelurus rambut pada September 2021 dan kes pecah rumah yang dilakukan pada Februari tahun lalu.

Menyedari Foster mempunyai rekod jenayah yang relevan dan panjang yang terdiri daripada 76 kesalahan terdahulu, Hakim Paul Ramsey memetik isu ketagihan Foster sebagai punca kesalahannya.

Ketika hukuman, Hakim Ramsey berkata, beliau mengenakan tempoh hukuman yang lebih lama untuk membenarkan Foster terbabit dengan percubaan dan menghadiri kursus diadakan untuk menangani kesalahannya, lapor BelfastLive.

"Defendan mesti mematuhi syarat yang membabitkan program kaunseling alkohol, dadah dan juga program Kemahiran Berfikir.

"Dia (Foster) tahu bahawa jika dia tidak terbabit dalam perkara itu, maka dia akan kembali dalam tahanan semula," kata Ramsey.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 2:14 PM