TANGKAP layar daripada rakaman CCTV menunjukkan insiden berkenaan. FOTO PA
TANGKAP layar daripada rakaman CCTV menunjukkan insiden berkenaan. FOTO PA
Agensi

London: Seorang lelaki digelar The Terminator selepas didapati bersalah membunuh bapa kepada tiga anak.

Mirror UK melaporkan Hakim Justice Cutts dalam penghakimannya berkata, Can Arslan, 52, melakukan cubaan 'pembunuhan beramai-ramai' jirannya berikutan 'perselisihan lama' mengenai tempat letak kereta.

Mangsa, Matthew Boorman, 43, baru pulang dari kerja sebelum ditikam 27 kali manakala isterinya, Sarah cedera di kaki ketika bertarung nyawa menyelamatkannya.

Boorman maut di tempat kejadian sebelum Arslan duduk di atas badannya untuk menghisap rokok pada 5 Oktober lalu.

Dia pergi ke sudut untuk masuk ke rumah jiran lain, Peter Marsden dan menikam individu itu lapan kali.

Marsden terselamat namun terpaksa menjalani pembedahan besar.

Ketika kejadian, Arslan memberitahu jiran ketiga, Ulysses Alonso dengan kata-kata 'anda seterusnya' namun dihalang sekumpulan penduduk yang berkumpul di jalan.

Mereka mengepung lelaki itu sehingga polis tiba.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan menunjukkan insiden itu yang berlaku di Walton Cardiff berhampiran Tewkesbury, Gloucestershire.

Mahkamah Crown Bristol diberitahu Arslan menyebabkan jirannya berada dalam ketakutan kerana berulang kali mengancam untuk membunuh mereka.

Dia akan menjerit: "Saya akan menjatuhkan awak" manakala enam bulan sebelum pembunuhan dia berikrar, "Saya akan melakukan pembunuhan beramai-ramai."

Dalam rakaman penahanannya, dia ketawa dan memberitahu pegawai: "Saya memberi amaran kepada anda, polis. Setahun. Lihat, ia berlaku."

Arslan menafikan membunuh Boorman, mendakwa gangguan personalitinya yang paranoid, tidak stabil dan antisosial dalam usaha mengurangkan hukumannya kepada membunuh tanpa niat.

Hakim bagaimanapun menangguhkan prosiding jatuh hukum hingga menerima laporan psikiatri lengkap.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 6:45 AM