OLIVER Harris, 9 bulan, menangis ketika menerima vaksin mencegah Covid-19 di Pusat Perubatan Kanak-Kanak Northwell Health di New Hyde Park, New York pada 22 Jun 2022. FOTO Reuters.
OLIVER Harris, 9 bulan, menangis ketika menerima vaksin mencegah Covid-19 di Pusat Perubatan Kanak-Kanak Northwell Health di New Hyde Park, New York pada 22 Jun 2022. FOTO Reuters.
Reuters

London: Pandemik Covid-19 menyebabkan penduduk seluruh dunia hilang keyakinan terhadap kepentingan vaksin wajib kanak-kanak bagi melawan penyakit membawa maut seperti campak dan polio.

Laporan terbaharu Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mendapati persepsi awam terhadap vaksin untuk kanak-kanak menurun antara tahun 2019 dan 2021 di 52 daripada 55 negara yang dikaji.

Unicef berkata, data itu adalah "isyarat amaran yang membimbangkan" mengenai peningkatan keraguan terhadap vaksin ketika sebaran maklumat yang salah, kepercayaan yang semakin berkurangan terhadap kerajaan dan polarisasi politik.

"Kita tidak boleh membiarkan keyakinan terhadap imunisasi wajib ini menjadi mangsa pandemik.

"Jika tidak, gelombang kematian seterusnya mungkin lebih ramai kanak-kanak yang menghidap campak, difteria atau penyakit lain yang sebenarnya boleh dicegah," kata Pengarah Eksekutif Unicef Catherine Russell dalam satu kenyataan.

Menurutnya, perubahan persepsi itu amat membimbangkan kerana ia berlaku selepas penurunan berterusan imunisasi kanak-kanak dalam satu generasi ketika penularan Covid-19.

Secara keseluruhan, 67 juta kanak-kanak terlepas satu atau lebih vaksin yang berpotensi menyelamatkan nyawa ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.

Begitupun, laporan itu menyebut, gambaran keyakinan terhadap vaksin adalah berbeza di seluruh dunia, yang mana negara termasuk Papua New Guinea dan Korea Selatan merekod penurunan 44 peratus dalam menyokong kenyataan "vaksin penting untuk kanak-kanak" danlebih satu pertiga di Ghana, Senegal dan Jepun.

Di Amerika Syarikat, ia merosot sebanyak 13.6 peratus manakala di India, China dan Mexico, keyakinan terhadap vaksin secara amnya kekal sama atau meningkat.

Laporan itu menegaskan, keyakinan terhadap vaksin boleh berubah dengan mudah dan hasilnya mungkin tidak menunjukkan trend jangka panjang.

Ia berdasarkan lebih 80 peratus responden di separuh negara yang terbabit kajian masih menganggap vaksin kanak-kanak sangat penting.

Semua data itu dikumpul dalam Projek Keyakinan Vaksin di London School of Hygiene and Tropical Medicine.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 12:44 PM