PROGRAM Imunisasi Nasional adalah komitmen kerajaan dalam mewujudkan masyarakat dilindungi daripada penyakit berjangkit merbahaya.
PROGRAM Imunisasi Nasional adalah komitmen kerajaan dalam mewujudkan masyarakat dilindungi daripada penyakit berjangkit merbahaya.
Nurul Husna Mahmud


KANAK-kanak selalu terdedah kepada patogen melalui interaksi harian mereka dengan ahli keluarga dan rakan.

Oleh itu, imunisasi memainkan peranan penting dalam memperkuatkan imuniti dan pelindungan terhadap penyakit.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik IMU Healthcare Profesor Dr Zabidi Azhar Mohd Hussin, peranan penting ibu bapa dalam mengimunisasi anak mereka bukan sahaja menjamin keselamatan si anak. Malah, dalam skop lebih luas menyumbang terhadap kesejahteraan masyarakat dengan meminimumkan penyebaran penyakit.

"Bayi yang baharu lahir secara normal mewarisi kekebalan ibu mereka dalam beberapa bulan pertama kehidupan. Bagaimanapun, sistem imun itu tidak lama.

"Oleh kerana bayi mempunyai sistem kekebalan tubuh yang kurang, mereka mungkin diserang pelbagai jangkitan antara empat hingga lapan kali setahun.

"Walaupun kanak-kanak kecil umumnya dapat melawan kebanyakan jangkitan, mungkin ada beberapa patogen atau penyakit berjangkit yang berada di luar kemampuan sistem imun mereka," katanya.

Di situ bermulanya peranan vaksin yang mana membantu merangsang sistem imun untuk melawan penyakit tertentu.

Dr Zabidi Azhar turut menjelaskan mengenai vaksin yang wujud ketika ini apabila terdapat empat vaksin utama iaitu vaksin yang tidak aktif dibuat daripada virus atau bakteria mati, vaksin yang dilemahkan secara langsung menggunakan versi virus atau bakteria yang lemah, vaksin rekombinan, polisakarida dan konjugasi iaitu mengambil komponen struktur dari virus atau bakteria dalam melatih sistem imun dan terakhir vaksin toksoid membabitkan racun kuman membuatkan tindak balas kebal.

"Ketika anak mendapat imunisasi, tubuhnya seakan 'tertipu' bahawa sudah dijangkiti penyakit tertentu. Ia mula menghasilkan antibodi yang membunuh kuman. Antibodi ini tinggal lama di dalam badan.

BEGUK dan campak masih berlaku dalam kalangan masyarakat apabila ada segelintir tidak mengambil vaksin sepatutnya ketika ia tidak diwajibkan.
BEGUK dan campak masih berlaku dalam kalangan masyarakat apabila ada segelintir tidak mengambil vaksin sepatutnya ketika ia tidak diwajibkan.

"Oleh itu, jika anak bersentuhan dengan penyakit ini, sistem kekebalannya dapat bertindak balas dengan lebih berkesan, mencegah penyakit itu berkembang atau mengurangkan komplikasi atau risiko terhadap kesihatan," katanya.

Tambahnya lagi, Program Imunisasi Nasional (NIP) yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 1950-an adalah program lengkap membendung penyebaran penyakit berjangkit di masyarakat.

Malah, program vaksinasi percuma yang diberikan kepada kanak-kanak melindungi mereka terhadap 13 penyakit yang berpotensi berbahaya.

"Jenis vaksin diberikan adalah Bacillus Calmette-Guerin (BCG), vaksin yang memberikan perlindungan terhadap tuberkulosis, Vaksin 6-dalam-1 yang mengandungi difteria (D), tetanus (T), polio, pertusis, Hepatitis B dan Haemophilus Influenza jenis B, MMR, gabungan campak (M), beguk (M) dan rubella (R) dan HPV (Human Papillomavirus), vaksin yang melindungi daripada barah serviks.

"Untuk Sarawak sahaja, ada vaksin tambahan yang melawan Encephalitis Jepun, JE. Kanak-kanak menerima vaksin ini dalam 18 bulan pertama kehidupan mereka kecuali vaksin HPV yang diberikan kepada remaja perempuan pada usia 13 tahun," katanya.

VAKSIN rubella juga diberi ketika kanak-kanak.
VAKSIN rubella juga diberi ketika kanak-kanak.

Tambah pakar itu, sejak program vaksin itu diperkenalkan, jumlah kes penyakit berjangkit menurun dengan ketara dan Malaysia diisyitiharkan bebas penyakit polio pada 2000.

Namun, masih ada kes terpencil membabitkan campak, beguk dan rubela dilaporkan berlaku dalam masyarakat luar bandar kerana ada imunisasi tidak diwajibkan satu ketika dulu.

"Dianggarkan 92 peratus rakyat Malaysia mempunyai kekebalan pada rubella dan bagi penyakit beguk belum dapat dibasmi sepenuhnya.

"Penting usaha memberi kesedaran awam mengenai program imunisasi diteruskan kerana ada sekelompok yang masih berfikiran vaksin memberi kesan buruk kepada kanak-kanak," katanya.

Beliau turut memberi contoh senario mengenai salah faham masyarakat terhadap vaksin termasuk peristiwa The Lancet pada 1998 membabitkan astikel penulisan Andrew Wakefield mengenai vaksin MMR menyebabkan autisme pada kanak-kanak.

"Pemberian vaksin untuk kanak-kanak masih selamat dengan kesan sampingan minimal berdasarkan kajian bertahun-tahun termasuk beberapa kali ujian klinikal," katanya.

Justeru, Dr Zabidi Azhar mengingatkan penting ibu bapa patuh dengan jadual imunisasi anak meskipun terdapat kebimbangan untuk ke hospital atau klinik dalam tempoh pandemik.

"Imunisasi adalah komponen penting dalam penjagaan kesihatan primer (utama) dan adalah hak asasi manusia," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 6:35 AM