ORANG ramai berjalan di atas bangunan yang runtuh di wilayah Hatay, Turkiye. FOTO Reuters
ORANG ramai berjalan di atas bangunan yang runtuh di wilayah Hatay, Turkiye. FOTO Reuters
AP

Istanbul: Penyelamat pada Rabu bertungkus lumus untuk mengeluarkan individu yang masih terperangkap di bawah runtuhan sebelum mereka tidak dapat bertahan akibat cuaca sejuk, susulan gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turki dan utara Syria.

Setakat ini, angka korban dianggarkan melebihi 7,700 orang dan ia dijangka meningkat.

Tempoh dua hari lalu menyaksikan usaha menyelamat dipergiatkan termasuk kanak-kanak yang diselamatkan dari runtuhan kira-kira 30 jam selepas gempa bumi pertama pada awal pagi Isnin lalu.

Namun, usaha menyelamat digambarkan agak perlahan di beberapa kawasan.

"Ia bagaikan kami bangun di dalam neraka," kata Osman Can Taninmis yang ahli keluarganya masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan di Hatay, wilayah paling terjejas teruk akibat bencana itu di Turkiye.

"Bantuan tidak tidak tiba. Kami tidak boleh menghubungi sesiapa. Semua tempat musnah."

Di Syria, penduduk menemui bayi baru dilahirkan yang tali pusatnya masih bersambung dengan ibu yang sudah meninggal dunia.

Bayi itu adalah ahli tunggal keluarganya yang terselamat selepas sebuah bangunan runtuh di bandar kecil Jinderis, kata saudara kepada The Associated Press.

Pasukan penyelamat dari hampir 30 negara kini dan banyak pihak mengikrarkan bantuan. Namun, kemusnahan di banyak bandar besar dan bandar kecil - termasuk yang terasing kerana konflik di Syria - menyebabkan mungkin lebih ramai yang akan terkorban.

Adelheid Marschang, pegawai kecemasan di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, kira-kira 23 juta orang mungkin terjejas di kawasan dilanda gempa bumi berkenaan.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata, kira-kira 13 juta daripada 85 penduduk negara itu terjejas dan beliau sudah mengumumkan darurat di 10 wilayah.

Lebih 8,000 mangsa dikeluarkan dari runtuhan, manakala kira-kira 380,000 terpaksa berlindung di pusat perlindungan disediakan kerajaan atau hotel, kata pihak berkuasa.

Tetapi, pihak berkuasa berdepan kritikan daripada penduduk di kawasan paling terjejas iaitu Hatay, terletak antara Syria dan Laut Mediterranean, yang mana kerja menyelamat dikatakan agak perlahan.

Nurgul Atay memberitahu AP bahawa dia mendengar suara ibu di bawah runtuhan bangunan di bandar Antakya, ibu kota wilayah Hatay.

Tetapi, penyelamat dikatakan tidak mempunyai kelengkapan diperlukan untuk untuk menyelamatkan ibunya.

"Jika kita dapat mengalihkan konkrit, kita boleh menjumpainya," kata wanita itu.

Dia berkata, ibunya sudah berusia 70 tahun dan tidak mungkin akan bertahan lama.

Menteri Kesihatan Fahrettin Koca berkata, di Hatay sahaja, 1,647 orang terbunuh, angka tertinggi berbanding di wilayah lain di Turkiye.

Setakat malam Selasa, 1,846 orang diselamatkan, katanya.

Namun, lapangan terbang Hatay terpaksa ditutup selepas gempa bumi itu merosakkan landasan sekali gus menjejaskan usaha menyelamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 8:45 AM