MATTEO Messina Denaro. FOTO Agensi
MATTEO Messina Denaro. FOTO Agensi
Agensi

Rom: Bos mafia paling dikehendaki Itali yang disabitkan kesalahan serta bertanggungjawab atas berpuluh-puluh pembunuhan akhirnya ditangkap selepas 30 tahun hidup dalam pelarian.

Matteo Messina Denaro adalah seorang lelaki muda ketika dia mula bersembunyi, tetapi tidak lama kemudian menjadi lelaki yang paling dikehendaki Itali kerana kekejamannya.

Dia mempunyai 'pangkalan kuasa' di bandar pelabuhan Trapani, di barat Sicily, dan dianggap bos teratas kumpulan mafia Cosa Nostra walaupun semasa menjadi pelarian.

Messina Denaro, 60, akhirnya ditangkap di sebuah klinik swasta di Palermo, di mana dia sedang menerima rawatan untuk keadaan perubatan yang tidak didedahkan.

Imej dramatik menunjukkan polis separa tentera bersenjata membawanya ke lokasi rahsia sejurus selepas penahanannya.

Samseng yang semakin tua itu adalah yang terakhir daripada tiga bos mafia buruan sekian lama yang berusaha mengelak daripada ditangkap selama beberapa dekad.

Tetapi dia kini berdepan hidup sepanjang hayatnya di penjara selepas dibicarakan secara in absentia'(tanpa kehadiran) dan disabitkan dengan berpuluh-puluh pembunuhan.

Beberapa jenayah kejam yang dia didapati bersalah termasuk dua pengeboman yang membunuh pendakwa raya antimafia, Giovanni Falcone dan Paolo Borsellino, pada tahun 1992.

Dia juga disabitkan dengan pembunuhan anak lelaki seorang pemberi maklumat mengenai kegiatan mafia dengan mangsa itu dicekik dan dilarutkan dalam tong asid.

Penangkapannya pada Isnin berlaku hampir tepat tempoh 30 tahun selepas penangkapan 'bos besar' Salvatore dikenali sebagai 'Toto' Riina, yang menghabiskan 23 tahun dalam pelarian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 11:31 AM