POLIS berkawal di pangsapuri Matteo Messina Denaro. FOTO Reuters
POLIS berkawal di pangsapuri Matteo Messina Denaro. FOTO Reuters
AFP

Rom: Polis Itali pada Selasa menggeledah pangsapuri di Sicily di mana bos mafia dalam buruan Matteo Messina Denaro tinggal, namun tiada senjata api ditemukan, sebaliknya pihak berkuasa itu menemui berpuluh-puluh pasang kasut termasuk jenama Prada, pakaian jenama mewah, peti sejuk yang penuh dengan makanan dan minuman, kondom dan pil Viagra, lapor media.

Dia menetap di bandar kecil Campobello di Mazara, pangsapuri berhampiran jalan ke kampung halamannya di Castelvetrano di barat Sicily.

Ketika serbuan, anggota polis dilihat mengawal pintu masuk ke jalan menuju ke bangunan pangsapuri berkenaan.

Lelaki berusia 60 tahun itu ditangkap pada Isnin selepas 30 tahun hidup dalam pelarian, diberkas ketika mengunjungi klinik kesihatan di Palermo.

Pada pagi hari kejadian, Messina Denaro di klinik kesihatan swasta La Maddalena itu kerana mempunyai janji temu untuk rawatan kanser kolon.

Dia menggunakan identiti palsu sebagai Andrea Bonafede, dan nampaknya memberitahu kejiranannya bahawa dia seorang doktor.

Bos mafia Cosa Nostra itu pernah menjadi ilham kepada pembikinan filem Godfather yang popular mengisahkan mafia Sicily dan ironinya, dia tidak pernah dilihat di khalayak ramai sejak 1993.

Menurut penyiasat antimafia, dia pernah menjadi bos aktif untuk wilayah Trapani yang di luar wilayahnya termasuk terbabit dalam penyelesaian pertikaian dan pelantikan mafia teratas.

Messino Denaro berpakaian kemas dan memakai jam tangan mahal ketika dia ditangkap.

Dia kemudian diangkut dengan helikopter tentera ke wilayah timur tengah Abruzzo, di mana pegawai berkata, lelaki itu akan dipenjarakan di penjara kawalan keselamatan tinggi di L'Aquila.

Messina Denaro adalah seorang daripada ketua kumpulan samseng paling kejam.

Dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas dibicarakan secara in absentia (tanpa kehadiran) pada 2020 kerana pembunuhan hakim antimafia, Giovanni Falcone pada 1992.

Semasa dalam pelarian dia 'menikmati perlindungan peringkat tinggi', dan siasatan kini tertumpu pada 'perlindungan' itu, kata pendakwa raya Palermo, Maurizio De Lucia pada Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 10:11 AM