MARIA Molonova. FOTO Agensi
MARIA Molonova. FOTO Agensi
Agensi

Moscow: Usaha seorang wanita Rusia mencari calon suami di papan iklan di negaranya, tidak sia-sia.

Ia selepas seorang hartawan Ukraine yang menetap di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS) membalas iklan itu.

Tindakan itu meskipun kedua-dua negara masih berperang.

Lebih menarik, lelaki itu turut membalas iklan wanita itu dengan mesej di papan iklan lain di bandar yang menjadi lokasi wanita berkenaan.

Pada mulanya, Maria Molonova, 26, mengiklankan dirinya di bandarnya Ulan-Ude, Buryatia, Rusia, bagi mencari pasangan selepas pihak berkuasa menyekat satu aplikasi janji temu popular.

Usaha itu menarik perhatian Serhii Kharkusha, 26, iaitu ahli perniagaan, ahli muzik dan jurulatih kehidupan dalam talian di LA.

Kharkusha kemudian menempah papan iklan juga di Ulan-Ude dengan mesej: "Saya sudah di sini..."

Walaupun menyalurkan sumbangan untuk tentera Ukraine, Kharkusha berkata, dia membenci Putin dan perang.

Namun, dia sangat menyayangi rakyat Rusia, khususnya Maria.

"Saya tidak menghormati penyokong perang atau (Presiden Rusia) Vladimir Putin. Saya tidak faham apa yang dia lakukan.

"Bagaimanapun, saya rasa seronok bercinta dengan seorang wanita Rusia. Kebanyakan kawan rapat saya berasal dari Rusia," kata Kharkusha.

Mengenai pencarian jodoh, Kharkusha berkata, mencari pasangan yang berfikiran sama adalah lebih penting daripada negara asal.

"Saya memilih pasangan yang ada keserasian dengan saya. Saya tidak menyokong perang," katanya.

Kharkusha kini sedang bercuti di Bali, Indonesia.

"Saya memilih Maria kerana saya melihatnya di berita selepas iklannya, dan dia adalah wanita idaman saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 12:25 PM