PASANGAN yang mohon pertukaran semula nama asal anak mereka. FOTO Asiaplus
PASANGAN yang mohon pertukaran semula nama asal anak mereka. FOTO Asiaplus
Agensi

Moscow: Suami isteri yang menamakan semula anak mereka Putin pada 2016 bagi menghormati Presiden Rusia, memohon kebenaran bagi penukaran semula nama itu.

Keluarga Dzhurayev dari Tajikistan berpindah ke Rusia pada awal 2010.

Pasangan itu sepakat menukar secara rasmi nama anak mereka, Rasul yang berusia setahun kepada Putin sebagai tanda terima kasih kepada negara baharu mereka dan pemimpinnya.

Namun, pasangan itu menyesali keputusan mereka dan kini cuba memohon untuk menukar nama itu kepada nama asalnya.

Ketua Pejabat Pendaftaran Daerah Alexandrovsky di wilayah Vladimir, timur Moscow, Ekaterina Belous berkata, pasangan itu datang membuat permohonan untuk menukar nama anaknya.

"Mereka mendakwa menyesal atas apa yang mereka lakukan.

"Mereka mahu memberikan nama yang asalnya semasa kanak-kanak itu dilahirkan," katanya.

Katanya, sepupu kanak-kanak itu yang dinamakan Shoigu sempena nama Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu akan mengekalkan namanya buat masa ini.

Datuk kanak-kanak itu (Rasul), Rahmon Juraev dikatakan penyokong setia pemimpin Rusia itu.

"Vladimir Putin adalah lelaki nombor satu di dunia bagi saya.

"Kuat, pintar dan berpendidikan.

"Cucu saya kelihatan sangat mirip dengan Putin semasa kecil dan saya, tanpa teragak-agak, memutuskan untuk menukar nama kanak-kanak itu," katanya kepada BBC Russian Service sebelum ini.

Dia dilaporkan, mendapat ilham itu daripada seorang wartawan Mesir yang turut menamakan anaknya dengan Vladimir Putin.

Keluarga itu berpindah dari Tajikistan, berikutan perang saudara yang sengit di sana, pada 1990.

Namun, sejak perang di Ukraine bermula tahun lalu, Putin menjadi kurang popular di Asia Tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 12:24 PM