PUTERA William. FOTO EPA
PUTERA William. FOTO EPA
BERNAMA

London: Lebih 27,000 orang sudah menandatangani petisyen untuk menamatkan gelaran 'Putera Wales' kerana ia dikatakan 'penghinaan kepada Wales dan adalah simbol penindasan sejarah', menurut kempen petisyen yang dilancarkan di platform Change.org.

Setakat Khamis, petisyen itu ditandatangani oleh 27,162 orang, kata Sputnik.

"Sejak zaman Llywelyn the Last and the 'rebel', Prince of Wales, Owain Glyndwr, gelaran itu dipegang secara eksklusif oleh orang Inggeris sebagai simbol dominasi ke atas Wales.

Sehingga hari ini, Princes of Wales Inggeris tidak mempunyai hubungan tulen dengan negara kita," kata Trystan Gruffydd, lelaki yang melancarkan petisyen itu dalam keterangannya.

Dia mendakwa gelaran itu 'menghina Wales dan ia simbol penindasan sejarah', sambil menambah ia 'tersirat menjejaskan status Wales sebagai sebuah negara'.

"Selain itu, gelaran itu sama sekali tidak mempunyai peranan perlembagaan untuk Wales, negara memiliki Parlimen kebangsaan. Baik parlimen Wales mahupun rakyat Wales tidak dimaklumkan, apatah lagi berunding mengenai keputusan kontroversi ini," katanya.

Pada 8 September, Istana Buckingham mengumumkan Ratu United Kingdom (UK) Elizabeth II yang memerintah UK selama lebih 70 tahun, meninggal dunia di istana Balmoral di Scotland pada usia 96 tahun.

Putera Charles menjadi raja UK sejurus selepas kematian mendiang ratu.

Charles III secara rasmi diisytiharkan sebagai Raja baharu UK di Istana St James di London pada Sabtu.

Pada 9 September, Putera William, pewaris takhta baharu dan isterinya, Kate, dilantik sebagai Putera dan Puteri Wales untuk menunjukkan status baharu mereka selepas bapa William, Charles III menjadi raja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 4:12 PM