Volodymyr Zelensky. Foto AFP
Volodymyr Zelensky. Foto AFP
AFP

Kyiv: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky sekali lagi memanggil Rusia untuk berunding bagi menyelesaikan ketegangan yang sedang berlaku antara kedua negara itu.

Zelensky berkata, ia satu-satunya peluang untuk Rusia meminimumkan kerosakan yang dilakukan atas kesilapan mereka sendiri kerana menceroboh Ukraine.

"Ini adalah masa untuk bertemu, bercakap, masa untuk memperbaharui integriti wilayah dan keadilan untuk Ukraine.

"Jika tidak, kerugian Rusia akan menjadi sedemikian sehingga beberapa generasi tidak akan pulih," katanya dalam video yang disiarkan di Facebook.

Zelensky berkata, pihak berkuasa Ukraine berjaya menyelamatkan lebih 9,000 orang dari bandar pelabuhan Mariupol yang dikepung tentera Rusia.

Katanya, mereka masih belum mendapat maklumat mengenai jumlah orang yang maut apabila sebuah teater di bandar yang melindungi orang awam dibom Rusia.

Lebih 180,000 warga Ukraine diselamatkan melalui koridor kemanusiaan di seluruh negara, kata Zelensky.

Difahamkan, kedua-dua pihak kini sedang mengadakan rundingan dari jauh tetapi setakat ini, seperti pusingan sebelumnya hanya kemajuan kecil belum lagi sampai di peringkat pemimpin negara.

Beberapa pusingan rundingan antara Kyiv dan Moscow berlangsung secara peribadi sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine bermula pada 24 Februari lalu.

Perunding utama Rusia berkata, Moscow dan Kyiv membawa kedudukan mereka sedekat mungkin mengenai cadangan untuk Ukraine menjadi negara berkecuali.

Namun, Penasihat kepada Zelensky, Mikhailo Podolyak yang mengambil bahagian dalam rundingan itu berkata, kedudukan negaranya tidak berganjak.

"Status rundingan. Kenyataan pihak Rusia hanyalah kedudukan permintaan mereka.

"Semua kenyataan bertujuan, antara lain untuk mencetuskan ketegangan dalam media.

"Kedudukan kami tidak berubah. Gencatan senjata, penarikan tentera dan jaminan keselamatan yang kukuh dengan formula konkrit," katanya di Twitter.

Rusia, yang menjalankan operasi ketenteraan di Ukraine sejak 24 Februari lalu meminta jirannya tidak sekali-kali menyertai pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) Barat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 12:36 PM