PERBICARAAN kes MH17. FOTO EPA
PERBICARAAN kes MH17. FOTO EPA
AFP

Amsterdam: Pendakwa raya pada Rabu, memohon mahkamah di Badhoevedorp, Belanda, menjatuhkan hukuman penjara seumur hayat untuk empat suspek yang didakwa menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 yang mengorbankan 298 penumpang dan krew.

Pesawat itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Schipol di Amsterdam menuju Kuala Lumpur pada Julai 2014.

Minggu ini pendakwa raya menjalakan prosiding hujahan penutup.

Keempat-empat tertuduh iaitu bekas kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia (FSB) Igor Girkin; bekas pegawai Agensi Perisikan Tentera agensi Tentera Russia (GRU) Sergey Dubinskiy; bekas pegawai tentera Spetznaz-GRU Oleg Pulatov; dan Leonid Kharchenko dari Ukraine dituduh menembak jatuh pesawat itu menggunakan misil BUK di wilayah bergolak di timur Ukraine.

"Kami berpendapat suspek Girkin, Dubinsky, Pulatov dan Kharchenko yang bertanggungjawab menyebabkan kematian dan membunuh 298 penumpang dihukum penjara seumur hidup," kata Pendakwa Raya Manon Ridderbeks kepada mahkamah pada Rabu.

Semua suspek enggan hadir di mahkamah di Belanda dan meminta dibicarakan secara absentia (tanpa hadir di mahkamah).

Dalam hujah pendakwa raya minggu ini, empat suspek memainkan peranan dan memastikan keselamatan sistem BUK terjamin dengan kecenderungan untuk menyerang pesawat perang Ukraine.

Penyiasat antarabangsa berkata, misil BUK itu dibawa dari pangkalan tentera Rusia yang digunakan untuk menentang angkatan bersenjata Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 11:15 AM