HAKIM yang bersidang dalam perbicaraan kes MH17. FOTO EPA
HAKIM yang bersidang dalam perbicaraan kes MH17. FOTO EPA
AFP

Paris: Mahkamah Belanda mensabitkan dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine bersalah kerana menjatuhkan pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine yang dilanda perang pada 2014 dan menjatuhi mereka hukuman penjara seumur hidup.

Prosiding diadakan secara in absentia iaitu tanpa kehadiran tertuduh.

Berikut ialah garis masa perkembangan utama dalam kes itu:

Pada 17 Julai 2014, pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine, di mana pemberontak pemisah pro-Rusia bertempur dengan tentera Ukraine.

Warga Belanda menyumbang dua pertiga daripada 298 penumpang dan anak kapal, bersama kira-kira 30 warga Australia dan 30 warga Malaysia dengan ramai mangsa mempunyai dua kewarganegaraan.

Presiden Ukraine pada masa itu, Petro Poroshenko menyebutnya sebagai "tindakan pengganas".

Pemberontak pro-Rusia di kawasan itu mendakwa pesawat itu ditembak jatuh oleh jet tentera Ukraine.

Lembaga Keselamatan Belanda (OVV) dilantik untuk melihat punca tragedi itu.

Dalam laporan pertama pada September 2014, ia mengatakan pesawat itu pecah di udara selepas dilanggar oleh banyak objek tenaga tinggi.

Pada Julai 2015, Rusia menggunakan kuasa veto terhadap resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai penubuhan tribunal khas untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab.

Pada Ogos, penyiasat berkata, mereka mengenal pasti serpihan 'mungkin' daripada sistem peluru berpandu permukaan-ke-udara BUK, yang digunakan oleh Moscow dan Kyiv.

Penyiasat yang diketuai Belanda berkata, mereka mempunyai bukti yang tidak dapat dinafikan pesawat itu dijatuhkan oleh peluru berpandu BUK, diangkut dari Rusia ke timur Ukraine yang dikawal oleh pemisah.

Mereka tidak menyatakan siapa yang bertanggungjawab.

Penyiasat mengatakan, peluru berpandu itu berasal dari briged tentera Rusia yang berpangkalan di Kursk di barat Rusia.

Mereka mengenal pasti dua suspek utama selepas mendapat perbualan melalui sistem pintasan sebelum dan selepas pesawat ditembak jatuh.

Belanda dan Australia berkata, Rusia berkongsi tanggungjawab untuk tragedi itu.

Rusia berkata, tiada peluru berpandu antipesawat melintasi sempadan Rusia-Ukraine.

Pada Jun 2019, penyiasat antarabangsa mendakwa empat orang bertanggungjawab iaitu warga Rusia Sergei Dubinsky, Igor Girkin dan Oleg Pulatov dan Leonid Kharchenko dari Ukraine dan menetapkan Mac 2020 untuk perbicaraan mereka di Belanda.

Keempat-empat suspek adalah pemimpin kanan dalam puak pemisah yang mengisytiharkan diri sebagai Republik Rakyat Donetsk di timur Ukraine.

Pendakwa raya berkata, empat individu itu bertanggungjawab membawa sistem peluru berpandu BUK dari Rusia ke timur Ukraine dan meletakkannya di tapak pelancaran, walaupun mereka tidak menekan butang itu sendiri.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy tidak mengendahkan bantahan Belanda dalam memutuskan untuk menyerahkan Vladimir Tsemakh, seorang pejuang pemisah yang disifatkan oleh Belanda sebagai saksi penting dalam nahas itu, kepada Rusia sebagai sebahagian daripada pertukaran tahanan utama.

Perbicaraan selama dua tahun setengah bermula pada Mac 2020 di mahkamah keselamatan tinggi berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol dari tempat pesawat itu berlepas.

Tiada seorang pun daripada empat suspek hadir, dengan Rusia enggan mengekstradisi warganya.

Semasa perbicaraan berjalan, Rusia menyerang Ukraine.

Mahkamah mensabitkan Girkin, Dubinsky dan Kharchenko tanpa kehadiran membunuh dan dengan sengaja menyebabkan sebuah pesawat terhempas dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup manakala Pulatov pula dibebaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 10:39 AM