PESAWAT MH17. FOTO Agensi
PESAWAT MH17. FOTO Agensi
Agensi

Rusia: Salah seorang suspek utama dalam insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh pada 2014 iaitu bekas komander lapangan, Leonid Kharchenko, 47, ditahan di timur Ukraine Mac lalu.

Semalam, BBC melaporkan bahawa pihak berkuasa pro-Russia di Donetsk menahan Leonid berhampiran rumahnya pada 11 Mac lalu atas kesalahan memiliki senjata api tanpa kebenaran.

Lelaki itu dilaporkan ditahan di Pusat Tahanan Donetsk dan pihak berkuasa sudah menyambung penahanannya untuk dua bulan lagi bermula Jumaat lalu.

Leonid adalah salah seorang daripada empat suspek yang dinamakan oleh Pasukan Penyiasat Bersama Antarabangsa (JIT) bertanggungjawab atas tragedi kematian semua 298 penumpang dan anak kapal pesawat MH17 pada Julai 2014.

Tiga suspek lain adalah warga Russia, iaitu bekas Kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) Igor Girkin; bekas pegawai Agensi Perisikan Tentera Rusia (GRU) Sergey Dubinskiy; bekas pegawai tentera Spetznaz-GRU Oleg Pulatov manakala Leonid adalah satu-satunya dari Ukraine.

EMPAT suspek utama. FOTO Arkib NSTP
EMPAT suspek utama. FOTO Arkib NSTP

Perbicaraan terhadap perbuatan itu sudah bermula sejak 9 Mac lalu namun tanpa kehadiran mereka di hadapan hakim.

Perbicaraan kes itu ditangguhkan bagi membolehkan persiapan dibuat dan akan bersambung semula 8 Jun depan.

Menurut Pendakwa Raya Belanda, Fred Westerbeke, mereka adalah empat suspek yang dipertanggungjawabkan membawa senjata, BUK Telar ke timur Ukraine.

Jika sabit kesalahan mereka berhadapan dengan hukuman penjara seumur hidup

Sementara itu bekas anggota tentera lain didakwa berkata mereka percaya bahawa pihak berkuasa pro-Rusia sengaja membuat tuduhan tidak masuk akal terhadap Leonid untuk melindungi dia dari cubaan penculikan oleh Ukraine.

Pada Mei 2018, JIT mendapati peluru berpandu anti pesawat BUK yang menembak jatuh pesawat Boeing 777 itu berasal dari briged tentera Russia ke-53 yang berpangkalan di bandar Kurk, barat daya Russia.

Media sebelum ini melaporkan MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh angkara roket buatan Russia milik pemberontak pro-Moscow.

Semua 298 penumpang serta anak kapalnya terkorban.

  • Fakta penting bicara MH17
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 9:43 PM