Steenhuis (tengah) dan barisan panel hakim tiba di mahkamah. FOTO AFP
Steenhuis (tengah) dan barisan panel hakim tiba di mahkamah. FOTO AFP
Ahmad Johari Mohd Ali


PERBICARAAN kes tembak jatuh pesawat MH17 milik Malaysia Airlines Berhad yang mengorbankan 298 penumpang enam tahun lalu bermula hari ini di Kompleks Kehakiman Schipol (SJC) di Amsterdam.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah District The Hague (Mahkamah Rendah) mengikut sistem perundangan Belanda.

Perbicaraan bermula dengan mahkamah diperkenalkan dengan barisan panel tiga hakim diketuai Henrik Steenhuis bersama-sama Dagmar Kosters dan Helen Kersterns-Fockens.

Sementara itu barisan pendakwaan diwakili Pendakwa Raya Dedy Woei-A-Tsoi dan Ward Ferdinandusse.

Seperti dijangka, keempat-empat tertuduh yang dinamakan pendakwaan tidak hadir di mahkamah dan mereka dibicarakan in absentia (tanpa kehadiran tertuduh).

Mereka ialah bekas kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia (FSB) Igor Girkin; bekas pegawai Agensi Perisikan Tentera agensi Tentera Russia (GRU) Sergey Dubinskiy; bekas pegawai tentera Spetznaz-GRU Oleg Pulatov; dan Leonid Kharchenko dari Ukraine.

Bagaimanapun, salah seorang tertuduh iaitu Pulatov diwakili oleh dua peguam Belanda, sementara itu sembilan peguam mewakili 398 keluarga dan waris mangsa.

Semua tertuduh didakwa dengan kesalahan membunuh dan dengan sengaja serta tidak sah memusnahkan MH17 yang menyebabkan kematian 298 penumpang, bagaimanapun skop tuduhan boleh diperluaskan lagi pada hari pertama prosiding.

Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun penjara tanpa parol atau pembebasan awal.

Kesalahan menyebabkan jatuhnya pesawat MH17 sehingga menyebabkan kematian semua penumpang dan kru pesawat adalah mengikut Artikel 168 Kod Jenayah Belanda manakala kesalahan membunuh pula adalah mengikut Artikel 289 kod sama.

Steenhuis dalam pernyataan pembukaan berkata perbicaraan kes ini sangat ditunggu-tunggu oleh pelbagai pihak terutama keluarga dan waris mangsa.

Hakim itu berkata, kejadian itu adalah satu kehilangan tragik yang mengorbankan ramai mangsa yang menyebabkan kesan yang amat mendalam kepada waris dan keluarga mereka.

"Kesan kepada keluarga dan waris mangsa sangat tidak boleh diterima.

"Mahkamah akan meneliti impak dan kesan kepada mereka dalam perbicaraan ini," katanya.

Beliau berkata, fasa pertama prosiding membabitkan isu berkaitan siasatan jenayah dan sama ada perbicaraan boleh diteruskan berdasarkan kepada merit.

Beliau juga menjelaskan mengenai hak keluarga dan waris mangsa dan memberi jaminan bahawa mereka boleh memberikan kenyataan kepada mahkamah.

Sementara itu Steenhuis turut mengambil notis kehakiman bahawa semua usaha untuk memaklumkan kesemua tertuduh mengenai tuduhan terhadap mereka sudah dibuat.

"Hak tertuduh juga perlu diambil kira dan perbicaraan mesti dikendalikan dengan adil tanpa ada sebarang unsur berat sebelah.

"Mereka (tertuduh) adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya," jelasnya.

Prosiding hari ini sebahagian besarnya adalah prosedur membabitkan pengenalan dan menentukan sama ada keluarga dan waris mangsa berhasrat memberikan kenyataan kepada mahkamah serta meneliti kes fail perbicaraan sama ada aspek siasatan sudah mencukupi.

Sementara itu, Pendakwa Raya Woei-A-Tsoi berkata, pendakwaan berpendapat senjata misil BUK TELAR dibawa ke timur Ukraine dan dilepaskan ke arah pesawat MH17.

"Kesemua tertuduh adalah didakwa menyebabkan pesawat malang itu terhempas dan menyebabkan kematian semua 298 penumpang dan kru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 10:46 PM