BURUNG. FOTO HIASAN
BURUNG. FOTO HIASAN
AFP

London: Kira-kira setengah juta burung dilupuskan di United Kingdom (UK), sepanjang tahun ini, dalam usaha negara itu memerangi wabak selesema burung terbesar yang pernah berlaku.

Selain langkah terbabit, kerajaan juga mengeluarkan peraturan baharu iaitu setiap pemilik burung perlu memastikan haiwan mereka itu sentiasa dikurung dalam rumah dan mengamalkan langkah biosekuriti ketat bagi membendung penyebaran virus.

Namun, pihak berkuasa bimbang penghijrahan burung liar dari Eropah ketika musim sejuk akan membawa penyakit itu.

Angsa, itik dan angsa adalah antara spesies burung liar terjejas, manakala sebilangan burung pemangsa juga disahkan mati.

"Setiap tahun UK menghadapi risiko bermusim dalam serangan selesema burung yang dikaitkan dengan penghijrahan burung liar.

"Tahun ini kita kini menyaksikan wabak selesema burung terbesar pernah berlaku di UK," kata Setiausaha Alam Sekitar, George Eustice kepada parlimen.

Badan amal kebajikan haiwan RSPB berkata, penyakit itu menjejaskan pelbagai operasi ternakan di seluruh UK.

Ketua Pegawai Veterinar UK, Christine Middlemiss berkata, sebanyak 40 premis di negara itu termasuk 33 di London dijangkiti wabak itu.

"Tahap fenomena mempunyai implikasi besar kepada manusia, haiwan dan aktiviti perdagangan.

"Kita perlu mengekalkan tahap biosekuriti yang lebih tinggi untuk sepanjang masa," katanya kepada BBC.

Katanya, musim penghijrahan burung sedang berlaku di negara itu dan dijangka berlarutan sehingga Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 10:14 AM