BURUNG hering hitam. FOTO fail AFP
BURUNG hering hitam. FOTO fail AFP
AP

Atlanta: Selesema burung mengakibatkan ratusan burung hering hitam di pusat perlindungan Georgia, Amerika Syarikat (AS), mati.

Pusat berkenaan turut menempatkan lebih 1,500 haiwan lain.

Pengurus penjagaan haiwan Noah's Ark, Allison Hedgecoth berkata, tiada burung lain diuji positif atau menunjukkan gejala virus H5N1 yang sangat patogenik.

Katanya, sekurang-kurangnya 700 burung hering hitam mati.

"Pekerja negeri membunuh 20 hingga 30 ekor burung lain.

"Semua ayam kami dibunuh semalam termasuk ayam belanda kami serta ayam mutiara," katanya kepada WXIA-TV.

Wabak virus itu menyebabkan kematian 40 juta ayam dan ayam belanda, serta kira-kira 2,000 burung liar tahun ini.

Burung liar itu termasuk lebih 240 burung hering hitam dan hampir 220 ekor helang botak serta anjing laut, menurut Jabatan Pertanian AS.

Pihak berkuasa negeri dimaklumkan apabila bilangan hering hitam yang mati ditemukan pada 13 Ogos, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan kepada saluran berita itu.

Stesen berita itu melaporkan, tempat perlindungan itu adalah rumah kepada lebih 500 unggas.

Ia termasuk burung unta, emu, burung merak, bangau bukit pasir, burung kakak tua dan burung hantu dan helang Eurasia, menurut laman web tempat perlindungan itu.

Noah's Ark terletak di Locust Grove, kira-kira 48 kilometer di tenggara Atlanta.

Maklumat di laman web pusat itu menyatakan ia akan ditutup sehingga 3 September.

Jabatan Pertanian dan Jabatan Sumber Asli Georgia menubuhkan perimeter 9.6 kilometer di sekitar tempat perlindungan itu dengan harapan dapat membendung penyebaran, menurut WXIA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 11:27 AM