Penduduk Palestin berjalan sambil memeriksa kerosakan, selepas tentera Israel berundur dari kawasan kejiranan Shejaiya di bahagian timur Bandar Gaza pada 10 Julai 2024. FOTO REUTERS/Dawoud Abu Alkas
Penduduk Palestin berjalan sambil memeriksa kerosakan, selepas tentera Israel berundur dari kawasan kejiranan Shejaiya di bahagian timur Bandar Gaza pada 10 Julai 2024. FOTO REUTERS/Dawoud Abu Alkas
AFP

Baitulmaqdis: Tentera Israel menggugurkan ribuan risalah ke atas bandar Gaza yang dilanda perang pada Rabu dan menggesa semua penduduk untuk melarikan diri daripada serangan berat melalui bandar utama wilayah Palestin yang terkepung.

Risalah itu ditujukan kepada semua orang di bandar Gaza, menetapkan laluan melarikan diri dan memberi amaran bahawa kawasan bandar, yang mempunyai populasi sebelum perang melebihi setengah juta, akan kekal sebagai zon tempur berbahaya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pemindahan terbaru hanya akan menambah penderitaan bagi keluarga Palestin, yang banyak kali dipindahkan

"Orang awam mesti dilindungi," kata jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Stephane Dujarric.

Jurucakap kerajaan Israel berkata tujuannya adalah untuk menjauhkan orang awam daripada bahaya ketika tentera memerangi pejuang di mana mereka berada.

Seorang wanita yang membawa barang-barangnya yang sedikit melalui runtuhan, Umm Nimr al-Jamal, memberitahu AFP pada Selasa bahawa ia kali ke-12 keluarganya terpaksa melarikan diri.

"Berapa kali kita boleh menanggung ini? Seribu kali? Di manakah kita akan berakhir?", katanya.

Peningkatan dalam pertempuran, pengeboman dan perpindahan berlaku ketika rundingan akan disambung semula di Qatar ke arah gencatan senjata serta perjanjian pembebasan tebusan dalam perang yang kini memasuki bulan ke-10.

Jurucakap Hamas, Hossam Badran ketika ditanya mengenai peningkatan operasi ketenteraan, memberitahu AFP bahawa Israel berharap bahawa pihak penentangan akan melepaskan tuntutan sah mereka dalam rundingan gencatan senjata.

"Namun berlanjutannya pembunuhan beramai-ramai memaksa kami untuk tetap dengan tuntutan kami", katanya.

Pertempuran hebat juga berlaku di Rafah, di selatan Gaza, di mana saksi memberitahu AFP bahawa kereta kebal Israel bergerak masuk ke pusat bandar dan melancarkan tembakan hebat ke atas bangunan.

Di seluruh Gaza, serangan maut melanda empat sekolah yang digunakan sebagai tempat perlindungan dalam tempoh empat hari, membunuh sekurang-kurangnya 49 orang menurut pegawai perubatan serta mencetuskan teguran dari Perancis juga Jerman yang kedua-duanya melabelkan serangan itu tidak boleh diterima.

"Kami menyeru supaya kejadian itu disiasat sepenuhnya.

"Adalah tidak boleh diterima bahawa sekolah, terutamanya yang menempatkan orang awam kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran, harus menjadi sasaran," kata Kementerian Luar Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 12:18 PM