KAPAL persiaran Serenade of the Seas.
KAPAL persiaran Serenade of the Seas.
Agensi

Miami: Sebuah syarikat kapal persiaran mewah akan menawarkan pelayaran baharu mengelilingi 150 destinasi terkemuka di dunia selama sembilan bulan.

Kapal persiaran Serenade of the Seas, Royal Cruise Line akan memulakan pelayaran dari Miami, Disember 2023.

Ia menawarkan pengalaman berlayar selama 274 malam sebelum kembali ke Florida pada September 2024.

Presiden Royal Caribbean International, Michael Bayley dalam satu kenyataan yang dilaporkan CNN Travel berkata, pelayaran itu digelar sebagai (pelayaran terunggul dunia).

Katanya, pakej itu direka khusus untuk membantu pemilik kapal persiaran 'menebus' kembali tempoh masa setahun kerana 'direhatkan' akibat Covid-19.

Berdasarkan jadual perjalanan, selepas memulakan perjalanan dari Miami, kapal persiaran itu akan ke Kepulauan Caribbean.

Ia akan berlabuh di Amerika Tengah dan Amerika Selatan termasuk mengelilingi Rio de Janeiro, Brazil dan Air Terjun Iguazu, Argentina.

Turut tersenarai dalam jadual perjalanan merentasi dunia itu adalah tujuh keajaiban dunia seperti Tembok Besar China, Taj Mahal dan Piramid Giza.

Pelancong diberi pilihan sama ada menempah perjalanan penuh selama sembilan bulan atau menjadualkan perjalanan tertentu yang diminati, misalnya hanya menyertai pelayaran Amerika dan Antartika sahaja.

Harga bagi perjalanan penuh ditawarkan AS$66,000 (RM273,900) hingga AS$112,000 (RM464,800) termasuk cukai dan yuran, bagi setiap seorang.

Sementara itu, berdasarkan laman web Royal Caribbean International, Serenade of the Seas sudah digunakan Royal Cruise Line sejak 2003 lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 6:30 AM