Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Pembunuhan beramai-ramai lebih 10,000 bayi dan kanak-kanak Palestin sejak 77 hari lalu, bakal menukar landskap Semenanjung Gaza menjadi kubur terbesar kanak-kanak di dunia.

Malah ribuan lagi mayat bayi dan kanak-kanak malang ini masih terperangkap di bawah runtuhan serta gagal diselamatkan hingga kini.

Secara purata, lebih 130 kanak-kanak terbunuh setiap hari sejak Israel mula mengebom kawasan Palestin itu yang terkepung sejak 7 Oktober lalu.

Badan hak asasi manusia The Defence for Children International - Palestine (DCIP) melaporkan hampir 20,000 rakyat Palestin terbunuh setakat ini akibat serangan udara dan artileri berterusan tentera Israel.

"Serangan gila Israel yang berterusan turut menyebabkan lebih 18,000 kanak-kanak Palestin cedera dan ramai daripadanya dalam keadaan kritikal. Beratus lagi mangsa mengalami kecacatan anggota dan ribuan lagi melecur teruk pada anggota tubuh akibat penggunaan bom fosforus.

"Baki kira-kira 700,000 kanak-kanak Gaza yang masih hidup kini menderita teruk mental dan emosi apatah lagi hidup melarat sebagai pelarian perang. Jumlah sebenar angka korban kanak-kanak mungkin melangkaui statistik diperolehi.

"Mereka ini antara jutaan rakyat Gaza yang kehilangan tempat tinggal susulan kemusnahan 640,000 kediaman dan kini terpaksa hidup merempat di tanah air sendiri.

"Lebih menyedihkan apabila masa depan kanak-kanak Gaza kabur apabila 217 sekolah di Semenanjung Gaza rosak atau musnah semasa serangan Israel. Ini menjejaskan proses pendidikan dan pembelajaran generasi muda di sana," katanya.

Menurutnya, trauma dan tekanan emosi dihadapi kanak-kanak Gaza terlalu berat apatah lagi mereka melihat pembunuhan beramai-ramai setiap hari.

"Bunyi letupan roket, bom dan jeritan mangsa kedengaran berterusan sejak hampir tiga bulan lalu memberi impak besar kepada mental golongan kanak-kanak ini.

"Ramai kanak-kanak ini terpaksa melarikan diri atau bersembunyi setiap kali serangan berlaku. Keadaan ini memburukkan lagi keadaan psikologi mereka," katanya.

Menurutnya, lebih 1.840 juta penduduk Palestin dipaksa berpindah dari bahagian utara dan tengah Semenanjung Gaza oleh tentera Israel.

"Ini turut mengakibatkan kanak-kanak ini menjadi pelarian dan tinggal di lokasi yang sangat sesak tanpa kemudahan asas.

"Kanak-kanak ini berdepan risiko kebuluran dan kematian berikutan rata-ratanya hanya makan sekali sehari.

Malah kanak-kanak lebih berisiko mengalami dehidrasi dan kekurangan zat makanan.

"Di samping itu, mereka berdepan risiko pendedahan wabak dan penyakit berjangkit akibat krisis kekurangan air minuman yang selamat, kemudahan kumbahan, kekurangan aspek penjagaan kesihatan selain isu kebersihan diri di khemah pelarian yang sangat sesak," katanya.

Sementara itu penghuni Tebing Gaza, Ahmed Abu Ayesh yang juga Pengurus Muslim Care Malaysia-Palestin berkata, kanak-kanak di bawah usia 18 tahun membentuk 47 peratus daripada 2.3 juta warga Palestin yang tinggal di Semenanjung Gaza.

"Selain menjadi salah satu kawasan paling padat di dunia, geografi semenanjung Gaza kebanyakannya rata, meningkatkan julat berkesan bom dan bahan letupan," katanya.

Menurutnya, kajian mendapati, serangan Zionis yang berlaku saban tahun menyebabkan empat daripada setiap lima kanak-kanak Gaza mengalami kemurungan, kesedihan atau ketakutan.

Saya mendesak pemimpin negara-negara Islam dan pemantau hak asasi manusia antarabangsa memperbaharui seruan mendesak Israel menghentikan misi menjadikan Semenanjung Gaza sebagai tanah perkuburan besar kepada kanak-kanak.

"Israel harus bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang jelas.

"Berdasarkan data demografi seorang kanak-kanak terbunuh setiap 15 minit dalam pengeboman Israel ke atas Gaza

"Mengikut peraturan konflik bersenjata diterima pakai di peringkat antarabangsa di bawah Konvensyen Geneva 1949 menyatakan kanak-kanak mesti dilindungi dan diperlakukan secara berperikemanusiaan ketika peperangan.

"Malangnya Israel tidak mengiktiraf konvensyen Geneva ke-4, ini sekaligus membolehkan mereka menggunakan kekuatan ketenteraan untuk membunuh rakyat dan kanak-kanak Palestin sesuka hati.

Nasib malang 25,000

Lebih 25,000 kanak-kanak di Gaza kehilangan seorang mahupun kedua-dua ibu bapa akibat pembunuhan beramai-ramai Israel yang berterusan.

Berdasarkan Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med, majoriti kanak-kanak Gaza menderita bukan hanya tidak mendapat makan dan minum air bersih, malah diancam penularan penyakit dan serangan tentera Israel pada bila-bila masa sahaja.

Buktinya lebih 18,700 mereka yang terbunuh di Gaza sebahagian besarnya membabitkan kanak-kanak dengan seorang kanak-kanak Palestin dibunuh setiap enam minit sekali gus menjadikan wilayah itu tempat tidak selamat di dunia.

Antara mangsa yang menderita adalah bayi perempuan yang juga anak kepada Halima Abd Rabbo. Bayi ini cedera akibat serangan Israel, beberapa minggu lalu.

Dia bukan sahaja cedera, lebih menyedihkan bayi ini kehilangan semua ahli keluarga dan nasibnya tidak diketahui termasuk siapa akan membesarkannya.

"Nama tidak diketahui, dikenali sebagai anak kepada Halima Abd Rabbo.

"Semua keluarga termasuk ibu bapanya terbunuh," kata catatan pada fail perubatannya di sebuah hospital.

Sementara itu, Nour Ashour berusia empat tahun cedera di bahagian kepala selepas terselamat daripada tiga kali serangan bom di Gaza City.

Dia ditemui masih bernyawa di bawah runtuhan, namun ibunya terkorban.

Bagi kanak-kanak dikenali sebagai Alaa, tujuh tahun. Dia memerlukan rawatan lanjut ke luar negara bagi memasang anggota tiruan selepas tangannya terpaksa dipotong akibat rumahnya dan tempat dia berlindung di kem Al-Nuseirat dibedil Israel.

"Tangan saya dipotong dan saya ada masalah saraf. Ayah saya cedera manakala datuk dan nenek mati syahid," katanya.

Dalam pada itu, Mayar Abu Saad, 12, kehilangan 15 ahli keluarganya.

Keluarganya memohon bantuan segera dunia bagi membolehkan Mayar menjalani rawatan lanjut akibat kecederaan pada kakinya yang mula membusuk.

Kesedihan kanak-kanak lelaki ini yang kehilangan bapanya turut meruntun hati.

"Kenapa ayah tinggalkan saya seorang diri?" tanyanya kepada bapanya yang terkorban.

Anak malang ini turut meminta maaf di depan jenazah bapanya ketika memberikan penghormatan terakhir.

"Maafkan saya ayah….ampunkan saya ayah. Semoga Allah SWT merahmati dan mencuri rohmu," katanya sambil menangis.

Dua minggu 'lihat' dunia

Dia dilahirkan di Hospital Bulan Sabit Merah Emirati di Rafah yang tidak mempunyai bekalan elektrik di bandar selatan Semenanjung Gaza susulan serangan rejim Zionis.

Keluarga memberikannya nama al-Amira Aisha. Malangnya bayi comel ini hanya sempat melihat dunia selama dua minggu sebelum dia terbunuh dalam serangan udara Israel yang menghancurkan rumah keluarganya kelmarin.

Ketika kejadian keluarga besarnya sedang tidur apabila roket dan bom menghujani kawasan pangsapuri didiami di Rafah ketika hari hampir subuh.

Kakitangan hospital memaklumkan, serangan itu membunuh 27 mangsa selain Amira dan abangnya Ahmed yang baru berusia dua tahun.

Nenek pasangan adik beradik itu, Suzan Zoarab berkata, dia yang terselamat dalam serangan Zionis itu tidak dapat menahan sebak atas kehilangan dua cucunya itu.

"Baru dua minggu dilahirkan. Namanya pun belum didaftarkan," katanya di sisi katil hospital anaknya yang turut cedera dalam serangan itu.

Menurutnya, pangsapuri tiga tingkat dihuni runtuh menimpa mereka semua.

"Pekerja penyelamat menarik kami dan mangsa lain dari bawah runtuhan. Ada mangsa yang hidup dan mati.

Tragedi itu berlaku ketika jumlah kematian rakyat Palestin di Gaza melangkaui angka 20,000 mangsa.

Menurut Kementerian Kesihatan, keluarga Zoarab adalah antara segelintir rakyat Palestin di Gaza yang tinggal di rumah mereka sendiri.

Ibu pasangan adik beradik terbabit, Malak terselamat namun melecur dan lebam di mukanya manakala suaminya, Mahmoud, patah tulang pelvis.

Ketika Mahmoud terbaring di katil wad di Hospital Kuwati Rafah, Suzan membawa jenazah dua kanak-kanak itu untuk ditatapi buat kali terakhir sebelum dikebumikan.

Mahmoud merintih dan menangis sebaik menyentuh mayat dua anaknya itu. Isterinya mendakap jenazah Puteri Aisha yang sudah siap dikafankan dengan kain putih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 12:30 PM