GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

KEMENTERIAN Kesihatan Jepun telah ‘dibanjiri’ dengan panggilan telefon daripada orang awam yang khuatir selepas kes pertama coronavirus dari Wuhan, China kini dikesan di negara berkenaan.

Pihak berkuasa kesihatan Jepun yang mengesahkan kes kedua di luar China, menimbulkan keresahan orang ramai khususnya di Asia terutama ia berlaku beberapa hari sebelum sambutan Tahun Baru Cina.

Ini kerana ketika ini, ramai pelancong China memilih untuk melancong ke luar negara.

South China Morning Post melaporkan, satu sidang media oleh Kementerian Kesihatan Jepun dibuat sekitar jam 10 pagi tadi dan sejurus selepas itu, panggilan telefon diterima tanpa henti.

Kes di Jepun bermula apabila seorang lelaki warga China yang menetap di Kanagawa, selatan Tokyo berkunjung ke Wuhan dan mula menunjukkan simptom demam, keletihan serta kesukaran bernafas sekitar 3 Januari lalu.

Dia kemudiannya kembali ke Jepun tiga hari kemudian dan dimasukkan ke hospital pada 10 Januari namun, dibenarkan pulang selepas lima hari berada di wad selepas tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda jangkitan.

Institut Penyakit Berjangkit Jepun (NIID) mengesahkan lelaki berkenaan dijangkiti coronavirus namun, dia memaklumkan tidak mengunjungi pasar Huanan yang dipercayai menjadi lokasi pertama virus itu dikesan.

Wanita China yang dikesan dengan virus sama di Thailand awal minggu ini juga turut menafikan berkunjung ke pasar berkenaan dan menimbulkan kebimbangan awam virus itu disebarkan di lokasi lain di Wuhan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 10:38 PM