FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Beijing: Seorang pekerja di China dipecat kerana menghabiskan masa di tandas sehingga enam jam sehari, yang menurutnya disebabkan oleh masalah perubatan dan pemecatannya itu mencetuskan perdebatan di media sosial.

Business Insider melaporkan pekerja itu, yang dikenal pasti dengan nama keluarganya Wang, menjalani pembedahan untuk masalah anorektal pada Disember 2014.

Tetapi Wang berkata, dia masih mengalami kesakitan sebulan kemudian selepas luka pembedahannya sembuh, Laodong Daily Shanghai melaporkan menerusi WeChat, pada 24 Mei.

Wang kemudian mula menghabiskan tiga hingga enam jam di dalam tandas setiap hari dari Julai 2015, menurut agensi berita berkaitan dengan kerajaan itu yang memberi tumpuan kepada laporan berkaitan buruh.

Wang didapati pergi ke tandas sebanyak 22 kali antara 7 September dan 17 September 2015, yang jika dijumlahkan adalah dua hingga tiga hari jam bekerja, menurut rekod syarikatnya.

Setiap kali ke tandas, dia mengambil masa antara 47 minit hingga 196 minit, atau lebih tiga jam, mengikut rekod daripada firma tidak dikenali di bandar utara Tianjin.

Wang kemudiannya ditamatkan pekerjaan pada September 2015, dengan majikannya memetik peruntukan dalam buku panduan kakitangan yang berkaitan dengan kelewatan, meninggalkan kerja awal dan ketidakhadiran.

Wang memohon timbang tara untuk mendapatkan semula pekerjaannya pada Oktober 2015 dan kedua-dua pihak memulakan tuntutan mahkamah yang panjang untuk menyelesaikan pertikaian buruh.

Kes itu akhirnya sampai ke mahkamah tinggi di Tianjin, yang memutuskan keberadaan Wang di tandas adalah bukan dalam 'keperluan fisiologi yang munasabah dan normal'.

Susulan keputusan itu, Wang tidak mendapat kembali pekerjaannya.

Kes itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial di China.

Pada 2021, sebuah syarikat teknologi di selatan China menimbulkan kemarahan pekerja dengan mendenda mereka yang menggunakan tandas lebih daripada sekali sehari, mengikut South China Morning Post.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 2:24 PM