PESAWAT SQ321 milik SIA Singapore Airlines. FOTO AFP
PESAWAT SQ321 milik SIA Singapore Airlines. FOTO AFP
AFP

Singapura: Singapore Airlines (SIA) pada Selasa berkata, ia menawarkan pampasan AS$10,000 (kira-kira RM47,000) kepada penumpang yang mengalami kecederaan ringan dalam penerbangan yang dilanda gelora udara ekstrim, bulan lepas, dan akan membincangkan pembayaran yang lebih tinggi dengan mereka yang cedera lebih serius.

Seorang lelaki warga Britain berusia 73 tahun meninggal dunia, manakala beberapa penumpang dan anak kapal lain dalam penerbangan SQ321 dari London itu, mengalami kecederaan tengkorak, otak dan tulang belakang.

Juruterbang melencongkan pesawat Boeing 777-300ER ke Singapura yang membawa 211 penumpang dan 18 anak kapal itu, ke Bangkok, di mana mangsa yang cedera dibawa ke hospital.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, syarikat penerbangan itu berkata, ia menghantar e-mel yang menawarkan pampasan AS$10,000 kepada penumpang yang mengalami kecederaan ringan semasa kejadian itu.

"Bagi mereka yang mengalami kecederaan yang lebih serius... kami menjemput mereka untuk membincangkan tawaran pampasan untuk memenuhi setiap keadaan khusus mereka apabila mereka berasa sihat dan bersedia untuk berbuat demikian," kata syarikat penerbangan itu.

"Penumpang yang dinilai secara perubatan mengalami kecederaan serius, memerlukan rawatan perubatan jangka panjang, dan meminta bantuan kewangan ditawarkan bayaran pendahuluan sebanyak AS$25,000 (kira-kira RM118,000) untuk memenuhi keperluan segera mereka.

"Ini akan menjadi sebahagian daripada pampasan terakhir yang akan diterima oleh penumpang ini."

Selain itu, syarikat penerbangan itu berkata, ia akan memulangkan tambang penerbangan semua penumpang dalam penerbangan itu, termasuk mereka yang tidak cedera.

"Semua penumpang juga akan menerima pampasan kelewatan mengikut peraturan Kesatuan Eropah atau United Kingdom, yang berkaitan," katanya.

Di bawah Konvensyen Montreal, syarikat penerbangan bertanggungjawab atas kerosakan untuk kecederaan atau kematian penumpang semasa berada di dalam kapal terbang.

Singapore Airlines sebelum ini memberi 1,000 dolar Singapura (kira-kira RM3,490) kepada setiap penumpang yang berlepas dari Bangkok ke destinasi terakhir mereka untuk menampung perbelanjaan segera mereka.

Ia juga menanggung kos perubatan penumpang yang cedera.

Pesawat itu mengalami "perubahan pantas" dalam daya graviti, atau G-force, semasa pesawat itu melalui selatan Myanmar, kata kementerian itu memetik laporan awal oleh Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 12:10 PM