PENDUDUK Palestin memenuhi jalan Al-Rashid menuju Bandar Gaza selepas melepasi Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza. FOTO AFP.
PENDUDUK Palestin memenuhi jalan Al-Rashid menuju Bandar Gaza selepas melepasi Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza. FOTO AFP.
AFP

Gaza: Ribuan penduduk Palestin membanjiri jalan pantai utara Semenanjung Gaza, semalam selepas mendapat tahu beberapa orang berjaya melintasi pusat pemeriksaan tertutup untuk menuju ke Bandar Gaza.

Bagaimanapun Israel menafikan pusat itu dibuka mahupun memberi laluan kepada penduduk Gaza.

Tinjauan AFP mendapati ada ibu berjalan sambil memegang tangan anak-anak dan keluarga lain memenuhkan barangan dalam kereta keldai ketika memulakan perjalanan.

Mereka berharap dapat menyeberangi pusat pemeriksaan tentera di jalan Al-Rashid di selatan Bandar Gaza, namun tentera Israel memberitahu AFP bahawa dakwaan laluan itu dibuka adalah "tidak benar".

Di sisi lain Gaza, ramai yang terdesak menunggu untuk bersatu dengan ahli keluarga di bandar yang musnah akibat bedilan di wilayah Palestin.

Mahmoud Awdeh berkata, dia sedang menunggu ketibaan isterinya yang berada di bandar selatan Khan Younis sejak permulaan perang 7 Oktober tahun lalu.

"Dia memberitahu saya menerusi panggilan telefon yang orang ramai sudah mula meninggalkan bahagian selatan untuk menuju ke utara.

LALUAN pesisir Rashid dibanjiri penduduk yang berhasrat pulang ke Bandar Gaza. FOTO AFP.
LALUAN pesisir Rashid dibanjiri penduduk yang berhasrat pulang ke Bandar Gaza. FOTO AFP.

"Dia beritahu saya yang dia menunggu di pusat pemeriksaan sehingga tentera bersetuju untuk membenarkannya (lintas) bergerak ke utara," katanya yang berharap insan kesayangannya itu dapat melintasi pemeriksaan dengan selamat.

Khabar angin turut tersebar mendakwa tentera Israel membenarkan wanita, kanak-kanak dan lelaki berusia lebih 50 tahun ke utara, namun sekali lagi dinafikan rejim itu.

Dalam pada itu, beberapa penduduk Gaza berkata, mereka diserang di laluan berkenaan dan rakaman AFP menunjukkan orang ramai menunduk mencari perlindungan.

Agensi berita rasmi Palestin, Wafa melaporkan, pasukan pendudukan Israel menyerang penduduk Palestin ketika mereka cuba kembali ke utara Semenanjung Gaza melalui jalan Al Rashid.

Wafa berkongsi video di platform X yang belum disahkan AFP, menunjukkan orang ramai melarikan diri daripada letupan.

Nour, warga Gaza yang berpindah memberitahu AFP, tentera Israel membenarkan wanita melepasi pusat pemeriksaan atau menyekat mereka, namun akan menembak lelaki.

"Jadi kami terpaksa kembali, kami tidak mahu mati," katanya.

Tentera Israel tidak memberi jawapan balas ketika ditanya AFP mengenai perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 12:03 PM