BAYI yang masih dirawat di Hospital Al-Shifa, Gaza ketika serangan tentera Israel dilakukan di kompleks berkenaan.
BAYI yang masih dirawat di Hospital Al-Shifa, Gaza ketika serangan tentera Israel dilakukan di kompleks berkenaan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: "Sekiranya kami masih hidup, kami akan maklumkan keadaan terkini. Sekiranya kami syahid, kita berjumpa di syurga dengan izin Allah SWT," itu antara kata-kata Doktor Munir al-Barash yang bertugas di Hospital Al-Shifa sebelum kompleks itu diserang tentera Israel awal pagi semalam.

Difahamkan lebih 100 tentera Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bertindak menyerbu masuk kompleks hospital terbesar di Gaza itu selepas mengepungnya sejak 10 hari lalu.

Pengerusi Muslim Care Malaysia Cawangan Palestin Abu Ayesh Al Najjar berkata, Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan tentera Israel bertindak menyerbu bangunan Jabatan Kecemasan dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital berkenaan dengan diiringi unit kereta kebal.

Menurutnya, enam kereta kebal IDF dibantu jentolak menyerbu hospital berkenaan disusuli dengan bunyi tembakan serta letupan.

KEADAAN Hospital Al-Shifa yang diceroboh  tentera Israel awal pagi semalam.
KEADAAN Hospital Al-Shifa yang diceroboh tentera Israel awal pagi semalam.

Berdasarkan angka dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sabtu lalu, terdapat 1,500 penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal berlindung di hospital al-Shifa.

Selain ini terdapat 650 pesakit sedang menerima rawatan dan hampir 500 petugas kesihatan serta doktor masih berada di dalam hospital Al-Shifa.

Pihak hospital sebelum itu diberi amaran awal berhubung serangan berkenaan selepas Israel menyebarkan propaganda kononnya hospital itu menjadi sarang persembunyian dan markas pejuang Hamas.

Susulan amaran dikeluarkan itu, kakitangan perubatan Hospital Al-Shifa berusaha memindahkan pesakit ke bilik atau ruang dianggap selamat.

Difahamkan tentera IDF memusnahkan peralatan perubatan hospital selain unit pengudaraan dan penghawa dingin di hospital berkenaan.

Kakitangan perubatan terpaksa mengepam oksigen secara manual untuk kanak-kanak dan bayi dirawat di hospital itu bagi memastikan mereka terus hidup.

"Kompleks hospital Al-Shifa dikepung sepenuhnya tentera Israel. Tiada siapa boleh bergerak keluar dan masuk.

"Bekalan elektrik di hospital itu terputus dan penghuninya kekurangan air serta makanan. Askar Israel menggunakan alasan kononnya hospital itu turut menjadi markas pejuang Al-Qassam menyimpan senjata dan bersembunyi di terowong bawah tanah.

Abu Ayesh yang dihubungi melalui WhatsApp memaklumkan kumpulan doktor di hospital Al-Shifa tidak akan berganjak dan akan meneruskan tugas walaupun diancam dengan serangan tentera Zionis.

Sabtu lalu pihak Kementerian Kesihatan Gaza mendedahkan 39 bayi meninggal dunia di unit rawatan rapi Hospital Al-Shifa Gaza akibat kekurangan oksigen susulan sekatan bekalan bahan api dilakukan pihak Israel.

Sementara itu pejabat media kerajaan Hamas memaklumkan semalam, angka korban rakyat Palestin di Semenanjung Gaza akibat serangan tentera Israel terus meningkat kepada 11,320 orang.

SERANGAN tentera Israel terhadap penduduk Gaza di kem pelarian Jabalia dan kediaman di Khan Younis semalam.
SERANGAN tentera Israel terhadap penduduk Gaza di kem pelarian Jabalia dan kediaman di Khan Younis semalam.

Serangan memasuki hari ke-40 itu sudah meragut nyawa 4,650 kanak-kanak dan 3,145 wanita setakat ini.

Pengeboman tanpa henti siang dan malam itu turut mencederakan 29,200 penduduk Gaza selain menyebabkan 3,600 individu masih gagal dikesan termasuk 1,755 kanak-kanak.

Sementara itu Abu Ayesh memaklumkan, serangan tentera Israel turut ditujukan ke kem pelarian Jabalia dan kediaman di Khan Younis menyebabkan berpuluh mangsa maut semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 12:14 PM