PEMANDANGAN menunjukkan kesan kerosakan susulan letupan gas di restoran Sanhe, wilayah Hebei. FOTO China Daily/ Reuters
PEMANDANGAN menunjukkan kesan kerosakan susulan letupan gas di restoran Sanhe, wilayah Hebei. FOTO China Daily/ Reuters
AFP

Beijing: Letupan gas di sebuah bangunan di utara China menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera, lapor media kerajaan pada Khamis.

Letupan berlaku sejurus sebelum 8 pagi Rabu lalu di kawasan perumahan di bandar Sanhe, wilayah Hebei, kurang dari 50 kilometer di timur pusat pentadbiran Beijing, lapor penyiar negeri CCTV News.

Pihak berkuasa tempatan melaporkan pada awal Khamis bahawa jumlah kematian meningkat daripada dua kepada tujuh, dengan 27 yang lain cedera, lapor akhbar Xinhua.

Rakaman dalam talian yang diedarkan oleh media kerajaan menunjukkan letupan besar yang menyebabkan kepulan asap dan api.

CCTV melaporkan kebakaran sudah dipadamkan pada petang Rabu.

Letupan itu disyaki berpunca daripada kebocoran gas di sebuah restoran ayam goreng, lapor media kerajaan.

Rakaman dikongsi oleh penyiar menunjukkan dua bangunan besar musnah sepenuhnya dalam letupan itu dengan pasukan penyelamat dilihat mengangkut kereta yang terkena letupan.

Anggota penyelamat juga kelihatan membawa tong gas besar.

Wartawan dihalang daripada sampai ke lokasi letupan oleh pegawai tempatan.

Rakaman tersebar di media sosial menunjukkan sepasukan kru CCTV News dihalang daripada merakam siaran langsung berhampiran lokasi letupan, dengan pegawai memaklumkan kawasan masih kekal berbahaya.

Penduduk memberitahu wartawan AFP bahawa mereka mendengar letupan kuat sebelum bergegas keluar untuk melihat kepulan asap naik ke udara pada pagi kejadian.

"Saya mendengar bunyi letupan kuat yang membuatkan saya takut. Di luar, saya nampak kepulan asap hitam," kata seorang penjual di pasar tempatan kepada AFP.

Seorang lagi peniaga dikenali Wang berkata, dia juga mendengar letupan kedua selepas dentuman besar pertama yang berbunyi sangat kuat dari tapak letupan.

Dari kepungan polis di zon letupan, wartawan dapat melihat asap kelabu menjulang ke udara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 10:35 AM