Melaka: Pengunjung pantai peranginan Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini, kini boleh merasai pengalaman menaiki kereta unta atau menunggang unta untuk bersiar-siar di sekitar kawasan berkenaan.
Pengalaman menarik itu disediakan Ahmad Bakri Ali, 58, yang menyediakan dua ekor unta jantan berusia 15 dan sembilan tahun dinamakan 'Bashar' serta 'Basheer'.
Bashar dibeli pada harga RM27,000 ketika haiwan itu berusia 13 tahun dan Basheer pada harga RM20,000 pada usia tujuh tahun dan kedua-duanya dipelihara di kandang Ahmad Bakri di Sungai Udang, kira-kira 10 kilometer dari Pantai Puteri.
"Saya mengajar Bashar untuk membawa penumpang di atasnya manakala Basheer diajar menarik kereta kuda yang saya ubah suai menjadi kereta unta.
"Setiap penumpang dewasa bagi kereta unta dikenakan bayaran RM10 manakala kanak-kanak RM5 dan bagi mereka yang ingin menunggang Bashar, caj RM10 bagi penumpang dewasa dan kanak-kanak dikenakan," katanya.
Sementara itu, pengunjung pantai, Tuan Muhammad Luqman Tuan Man, 47, berkata dia teruja, namun agak mendebarkan kerana faktor ketinggian haiwan yang hidup di padang pasir itu.
"Saya tidak pernah menunggang unta sebelum ini dan peluang menunggang Bashar hari ini amat mengujakan saya.
"Begitu juga dengan anak saya yang seronok menyaksikan unta secara dekat, apatah lagi ketika menaiki kereta unta menyusuri pantai sejauh kira-kira 300 meter," katanya.
Dia yang datang dari Negeri Sembilan bercadang untuk datang sekali lagi semata-mata bagi menikmati peluang menunggang unta manakala anaknya berpeluang menaiki kereta unta.