MENU unik daging burung unta yang disediakan untuk berbuka puasa di Karachi.
MENU unik daging burung unta yang disediakan untuk berbuka puasa di Karachi.
Reuters

ISLAMABAD: Badan kebajikan di Karachi menghidangkan menu unik kepada penduduk Islam bandar raya itu untuk berbuka puasa iaitu daging burung unta.

Daging burung unta mahal dan jarang dimakan di Pakistan dan dianggap eksotik di negara 208 juta penduduk Islam itu.

Sukarelawan memasak daging merah itu di dalam kuali dan menghidangkannya dengan kari kacang kuda kepada lebih 500 penduduk sebelum berbuka, apabila Pakistan mula berpuasa hari ini.

“Disebabkan serba kekurangan, penduduk kaya menyokong kami dan seperti tahun sebelumnya kami menghidangkan makanan tidak mampu diperoleh oleh golongan pertengahan, apatah lagi yang miskin,” kata Ketua Setiausaha Yayasan Pengurusan Sel Bencana Jafaria, Zafar Abbas.

Abbas berkata, rancangan seterusnya adalah daging rusa dan hidangan mahal lain sepanjang Ramadan.

Langkah itu disambut baik oleh mereka yang suka memakan daging burung unta.

“Rasanya sangat sedap. Saya tidak pernah memakan daging unta. Ia sangat berkhasiat sehingga saya rasa tidak perlu makan untuk dua hari lagi,” kata pemandu van, Mohammad Hussain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 9:38 PM