RIBUT salji menyebabkan 1,000 pelancong terkandas di sebuah perkampungan percutian terpencil
RIBUT salji menyebabkan 1,000 pelancong terkandas di sebuah perkampungan percutian terpencil
Reuters

Beijing: Kira-kira 1,000 pelancong masih terkandas di sebuah perkampungan yang juga destinasi percutian terpencil, selepas runtuhan salji melanda wilayah Xinjiang barat laut China hingga menghalang pemindahan mangsa, lapor CCTV.

Akses jalan raya ke kampung Hemu yang terletak di Wilayah Altay, Xinjiang iaitu destinasi pelancongan berhampiran sempadan Kazakhstan, Russia dan Mongolia, turut terputus akibat runtuhan salji selama 10 hari.

Salji lebat itu mencetuskan berpuluh-puluh runtuhan salji di sebahagian besar lebuh raya di pergunungan Altay, menuju ke kawasan pelancongan Kanas.

Ia menyebabkan helikopter dikerah untuk menyelamatkan beberapa pelancong, lapor media negara China, hujung minggu lalu.

Menurut laporan, salji lebat setinggi tujuh meter itu menyebabkan runtuhan salji berlaku di beberapa kawasan dan salji itu dikatakan lebih tinggi daripada peralatan pembersihan salji.

Keadaan itu menyebabkan kerja pembersihan jalan yang diselaputi batu, serpihan dan dahan pokok sepanjang 50 kilometer (km) terpaksa ditangguhkan, apabila salji mencurah-curah di cerun hutan ke arah lembah sungai, menjadikan kenderaan pembajak salji tidak berfungsi.

Pasukan penyelamat juga terpaksa menggunakan penyodok dan jengkaut.

Memandangkan cuaca berubah dengan pantas di kawasan pergunungan, terdapat kekangan untuk misi bantuan bekalan di mana sebuah helikopter tentera yang dijadualkan menghantar bekalan seperti tepung dan bahan api ke kampung Hemu, terpaksa ditangguhkan .

Ketua Biro Pengurusan Lebuh Raya Altay, Zhao Jinsheng berkata, mereka mengatur 53 kakitangan dan 31 set jentera dan peralatan untuk kerja menyelamat dan bantuan.

"Situasi runtuhan salji ini agak luar biasa kerana kami pernah melihat salji yang lebat sebelum ini, tetapi kami tidak pernah melihat kekerapan runtuhan salji yang begitu tinggi.

"Kami menjangkakan kerja pembersihan salji untuk memulihkan akses ke perkampungan Hemu akan diteruskan untuk beberapa waktu berikutan jumlah salji yang besar di sepanjang empat km di jalan yang terjejas akibat runtuhan salji," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 11:48 AM