PASUKAN penyelamat giat mencari mangsa terperangkap di pergunungan Uttarakhand. FOTO EPA
PASUKAN penyelamat giat mencari mangsa terperangkap di pergunungan Uttarakhand. FOTO EPA
Agensi

New Delhi: Puluhan pasukan penyelamat India masih giat mencari lapan pendaki yang hilang di pergunungan Himalaya di Uttarakhand.

Tentera menggerakkan sebuah helikopter pada Khamis dan beberapa pasukan penyelamat berjalan kaki untuk mengesan pendaki yang hilang.

Seorang pegawai polis dari Uttarakhand, Shweta Choubey mengesahkan, dua kumpulan pendaki membabitkan 21 orang terperangkap di hulu Himalaya selepas hujan lebat dan salji melanda wilayah itu, Ahad lalu.

Hasil daripada misi mencari dan menyelamat itu, tujuh daripada sekumpulan 11 pendaki, ditemukan meninggal dunia akibat terjatuh dalam gaung berdekatan Lamkhaga Pass berikutan salji lebat.

Dua pendaki berjaya diselamatkan, manakala dua lagi masih hilang.

Menurutnya, enam lagi pendaki dilaporkan hilang selepas mereka terperangkap dalam salji di sebelah timur Lamkhaga Pass, Sunderdhunga, manakala empat lagi diselamatkan pada Jumaat.

Salji dan hujan lebat yang melanda minggu lalu, menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di beberapa tempat di utara negeri itu.

Uttarakhand ialah satu daripada destinasi pendakian gunung terkenal di India dengan rekod ribuan orang sudah melawat puncak Himalaya di negeri itu pada bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 10:59 AM