POLIS membantu kenderaan tersekat dalam salji tebal di Fuyun, wilayah Xinjiang. FOTO cnsphoto/ Reuters
POLIS membantu kenderaan tersekat dalam salji tebal di Fuyun, wilayah Xinjiang. FOTO cnsphoto/ Reuters
Reuters

Beijing: Wilayah barat China, Xinjiang menghadapi musim sejuk paling ekstrem dalam tempoh enam dekad.

Suhu memecah rekod 64 tahun di Xinjiang, menjunam kepada -52.3 darjah Celsius.

Selain itu, beberapa bahagian di China sedang bergelut dengan satu lagi suhu beku beku apabila orang ramai kembali dari cuti selama seminggu sempena Tahun Baharu Cina.

Sebelum cuti itu bermula, ribut salji dan hujan berais menyebabkan pengembara terkandas di landasan kereta api dan jalan raya di beberapa kawasan di negara ini.

Media kerajaan berkata, suhu di perbandaran Tuerhong, daerah Fuyun direkodkan paling rendah sejak rekod bermula di Xinjiang, iaitu melepasi -51.5 darjah Celsius pada 21 Januari 1960.

Angka itu tidak jauh berbeza berbanding suhu negara paling rendah iaitu -53 darjah Celsius di Mohe, sebuah bandar di wilayah timur laut Heilongjiang, pada 22 Januari tahun lalu.

CCTV melaporkan, jalan raya sepanjang 853 kilometer di kawasan Altay di wilayah Xinjiang, terjejas selepas dilanda salji selama beberapa hari.

Situasi itu menyebabkan pihak berkuasa lebuh raya menghantar 47 kenderaan dan 86 penyelamat untuk membersihkan salji.

Sementara itu, angka kementerian pengangkutan menunjukkan, wilayah Inner Mongolia dan Xinjiang serta wilayah Liaoning, Jilin dan Heilongjiang menutup 43 bahagian jalan dan 623 stesen tol, kata CCTV pada Isnin.

Pihak berkuasa cuaca negara menaikkan amaran untuk keadaan cuaca sejuk ekstrem itu ke tahap kedua tertingginya, lapor akhbar Global Times, dengan penurunan drastik suhu dijangka di seluruh negara hingga Khamis.

Kawasan paling teruk terjejas termasuk bahagian Inner Mongolia, timur laut China, wilayah tengah Hubei dan Hunan di selatan.

Tahun lalu, China dilanda cuaca ekstrem membabitkan ribut pasir hingga hujan lebat dan panas terik yang memecahkan rekod sepanjang musim panas, serta beberapa taufan.

Pada hujung minggu, ribut pasir yang teruk melanda beberapa bandar di wilayah Ningxia Hui, termasuk ibu kota Yinchuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 11:06 AM