PENDUDUK melakukan pencarian di kawasan bangunan runtuh di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
PENDUDUK melakukan pencarian di kawasan bangunan runtuh di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
Agensi

Gaza: Tentera Israel didakwa mula mengepam air laut ke dalam rangkaian terowong yang didakwa digunakan oleh kumpulan Hamas, di Gaza, mengikut satu laporan yang diterbitkan pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.

Wall Street Journal, yang merujuk kepada pegawai Amerika Syarikat yang dimaklumkan mengenai operasi tentera Israel, mengatakan, langkah membanjiri terowong dengan air dari Laut Mediterranean adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas yang digunakan oleh Israel untuk memusnahkan terowong-terowong berkenaan.

Usaha ini dilaporkan masih berada dalam peringkat awal.

Sistem terowong ini dikatakan sejauh kira-kira 486 kilometer, mengikut pegawai-pegawai AS.

Proses itu, yang dijangkakan berlangsung selama beberapa minggu, bermula serentak dengan pemasangan dua pam tambahan oleh Israel untuk melengkapkan lima pam yang ditambah dalam bulan sebelumnya.

Ujian awal dijalankan bulan lalu, kata pegawai-pegawai AS.

Langkah ini, yang pertama kali diumumkan oleh akhbar pada awal bulan ini, menimbulkan kritikan, dengan beberapa orang berpendapat ia akan mencipta bencana alam sekitar dan memburukkan lagi keadaan bekalan air di Gaza.

Beberapa pegawai dari pentadbiran Biden menyuarakan kebimbangan dan mengatakan penggunaan air laut mungkin tidak berkesan dan boleh membahayakan bekalan air di Gaza, mengikut laporan berkenaan.

Israel percaya sistem bawah tanah itu adalah kunci kepada operasi Hamas di medan perang.

Israel mengebom Semenanjung Gaza dari udara dan darat, melakukan pengepungan, dan melancarkan serangan darat sebagai balasan terhadap serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober lalu.

Sebanyak 18,412 orang Palestin terbunuh dan 50,100 cedera dalam serangan Israel sejak itu, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Jumlah kematian Israel dalam serangan Hamas adalah 1,200, manakala hampir 139 orang tahanan masih berada dalam tawanannya, menurut angka rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 7:43 AM