KESAN kemusnahan susulan serangan udara di sebuah hospital di Gaza. FOTO AFP
KESAN kemusnahan susulan serangan udara di sebuah hospital di Gaza. FOTO AFP
AFP

Washington: Perisikan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan Israel tidak boleh dipersalahkan atas serangan ke atas hospital Gaza, kata Rumah Putih pada Rabu.

Kenyataan itu ketika Presiden Joe Biden berkata, ia nampaknya adalah akibat daripada tembakan roket yang salah tembak.

Biden menyokong desakan Israel bahawa ia tidak melakukan serangan di sebuah hospital di Gaza pada Selasa lalu yang mengorbankan beberapa ratus orang. Kumpulan pejuang Hamas berkata, Israel bertanggungjawab terhadap serangan itu.

"Sementara kami terus mengumpul maklumat, penilaian semasa kami, berdasarkan analisis imej, pintasan dan maklumat sumber terbuka, adalah bahawa Israel tidak bertanggungjawab atas letupan di hospital di Gaza," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Adrienne Watson menerusi media sosial.

Jawatankuasa Perisikan Senat mengulangi pandangan Biden, selepas mengkaji risikan mengenai serangan itu.

"Berdasarkan maklumat ini, kami berasa yakin bahawa letupan itu adalah hasil pelancaran roket yang gagal oleh pejuang dan bukan akibat serangan udara Israel," kata pengerusi Demokrat Mark Warner dan naib pengerusi Republikan, Marco Rubio dalam satu kenyataan.

Perisikan AS termasuk data satelit dan inframerah yang menunjukkan pelancaran peluru dari kedudukan pejuang di dalam Gaza, lapor New York Times, memetik pegawai AS.

Pegawai Israel membekalkan Washington dengan komunikasi yang dipintas antara pegawai Hamas, manakala perisikan AS juga melihat video sumber terbuka pelancaran itu, katanya.

Biden, di Tel Aviv semasa lawatan singkat untuk menunjukkan solidariti kepada Israel selepas serangan Hamas pada 7 Oktober, memberitahu Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bahawa serangan itu "dilakukan oleh pasukan lain."

Presiden AS kemudiannya memberikan pertuduhan yang lebih tegas mengenai kesalahan, dengan mengatakan bahawa "berdasarkan maklumat yang kami lihat setakat ini, ia kelihatan sebagai hasil daripada roket sesat di Gaza."

Beliau berkata, penilaian itu bergantung pada "data yang ditunjukkan oleh jabatan pertahanan saya."

Tiada komen segera daripada Pentagon.

Serangan hospital itu membunuh 471 orang, menurut kementerian kesihatan yang dikawal Hamas di Gaza, dan mencetuskan kemarahan di seluruh dunia Arab dan Islam.

Hamas selepas letupan pada hari Selasa itu berkata, puncanya adalah serangan udara Israel.

Israel pula mendakwa, kumpulan Jihad Islam menyebabkan letupan dengan roket yang salah tembak.

Israel menjalankan kempen serangan udara dan artileri ke atas Gaza sejak serangan Hamas yang menyaksikan sekurang-kurangnya 1,400 maut dan 199 dijadikan tebusan.

Krisis kali ini menyaksikan lebih 3,400 orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza, menurut pegawai kesihatan di Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 8:32 AM