PETUGAS kesihatan di Hospital Al Shifa, rakaman gambar 15 November. FOTO Gaza Ministry Of Health/Reuters
PETUGAS kesihatan di Hospital Al Shifa, rakaman gambar 15 November. FOTO Gaza Ministry Of Health/Reuters
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Lebih 150 pesakit dan petugas kesihatan di Hospital Al-Shifa di Gaza, Palestin yang masih dikepung Israel, semakin tidak bermaya selepas 11 hari tanpa akses air, makanan dan perubatan yang mencukupi.

Ketua Unit Pakar Pembedahan Plastik dan Kebakaran Hospital Al-Shifa, Dr Ahmed El Mokhallalati berkata, ketika ini hanya tinggal dia bersama masing-masing seorang doktor dan jururawat serta tiga sukarelawan masih bertahan di pusat perubatan terbesar Gaza itu bagi merawat kira-kira 150 pesakit.

Katanya, dia dan doktor terbabit tidak mampu lagi merawat pesakit berikutan mereka sudah burnout (lesu) akibat terlalu keletihan.

"Keadaan kesihatan saya sangat teruk dan badan saya letih. Saya dan rakan setugas tidak dapat lagi meneruskan rawatan kepada pesakit itu," katanya berkongsi perkembangan itu di platform X, malam tadi.

Ahmed berkata, sepanjang 11 hari dikepung, tentera Israel memberikan sandwic dan air untuk diberikan kepada hanya sebahagian daripada mereka yang terkepung di hospital itu.

"Selama 11 hari, kami kekurangan air, makanan dan bekalan perubatan. Dalam tempoh itu, tentera Israel ada membawa sandwic dan air selama dua kali tetapi ia hanya boleh dimakan kurang daripada separuh orang yang ada dalam hospital ini," katanya.

Katanya, keadaan Hospital Al-Shita pada masa ini amat sukar dengan kemudahan itu masih dikepung tentera Israel.

"Setiap hari, ada saja pesakit meninggal dunia akibat pasukan tentera Israel yang menceroboh hospital," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Ahmed antara enam doktor memilih untuk tinggal bertahan merawat pesakit mereka di hospital terbabit selepas Israel mengarahkan pengosongan kemudahan itu minggu lalu, sehingga menyaksikan ratusan orang dalam hospital itu keluar melarikan diri dengan berjalan kaki.

Ahmed dilaporkan berkata, kebanyakan pesakit yang masih tinggal tidak mampu bergerak sendiri kerana dirawat di unit rawatan rapi (ICU) akibat parah terutama terputus anggota badan manakala selebihnya bayi dalam inkubator.

Susulan itu, empat hari lalu, 31 bayi pramatang yang mendapatkan rawatan di hospital itu berjaya dipindahkan ke sebuah hospital di Rafah selepas penilaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan hospital itu sebagai zon kematian.

Pusat perubatan terbesar di Gaza itu menjadi sasaran dan tumpuan Israel apabila rejim itu mendakwa ia digunakan sebagai markas operasi pejuang Hamas.

Semalam, Israel berterusan 'membantai' bumi Gaza dan Tebing Barat termasuk menahan penduduk secara besar-besaran selepas menunda gencatan senjata empat hari kepada 7 pagi hari ini (waktu tempatan) yang berbaki kira-kira lima jam lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 2:53 PM