PENDUDUK Palestin mencari perlindungan ketika serangan udara Israel berhampiran Hospital Al-Shifa di Gaza. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin mencari perlindungan ketika serangan udara Israel berhampiran Hospital Al-Shifa di Gaza. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Israel bersedia untuk meneruskan perang bagi menentang Hamas yang dijangka berlangsung selama empat hingga enam bulan lagi, lapor The National News.

Ahli Knesset (Parlimen Israel) dari Parti Perpaduan Nasional yang turut menganggotai jawatankuasa hal ehwal luar negeri dan keselamatan negara, Sharren Haskel berkata, Israel memiliki segala bentuk kemampuan untuk terus berperang.

"Ia akan mengambil masa kira-kira empat hingga enam bulan untuk perang seperti ini berakhir.

"Israel mempunyai wang, keupayaan dan kekuatan ekonomi untuk perang ini. Kita akan lalui situasi ini," katanya.

Menurutnya yang juga bekas timbalan speaker Knesset berkata, Israel mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk membiayai perang yang panjang.

Menurutnya, perang itu memberi tumpuan untuk menghapuskan apa yang dipanggil sebagai musuh seperti militan Daish.

Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich berkata, kos perang itu dianggarkan AS$246 juta (kira-kira RM1.17 bilion).

Sementara itu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, perang Israel di Gaza akan berlangsung lama dan pihaknya yakin menang.

"Kami berada dalam peperangan yang sukar. Ia akan menjadi perang yang panjang. Saya berjanji kepada semua rakyat Israel, kami akan menyelesaikan tugas ini. Kami akan terus mara ke depan sehingga perolehi kemenangan," katanya.

Konflik yang sudah memasuki minggu keempat itu menyaksikan tentera darat Israel terus membedil Gaza dengan angka korban yang semakin meningkat di kedua-dua belah pihak.

Dilaporkan, 15 tentera Israel mati dalam pertempuran sejak rejim zionis melancarkan fasa kedua perang di Gaza iaitu menerusi pencerobohan darat.

Netanyahu pula menolak gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata dan berikrar untuk menghapuskan Hamas, yang melancarkan serangan awal pada 7 Oktober lalu.

Sehingga kini, dilaporkan lebih 8,500 penduduk Palestin terbunuh susulan serangan udara dan tembakan Israel di Gaza.

Dalam pada itu, serangan udara Israel ke atas kem pelarian terbesar di Gaza iaitu Jabalia membunuh sekurang-kurangnya 50 orang dan mencederakan 150 lagi pada Isnin dan Selasa.

Tentera Israel berkata, serangan itu membunuh pemimpin Hamas, Ibrahim Biari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 10:56 AM