Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Dianggarkan lebih 1,000 peserta Himpunan Mega Demi Palestin menghampiri Dataran Merdeka di sini, selepas lebih empat kilometer berarak dari Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak.

Setakat jam 4 petang tadi, peserta didapati berarak membawa plakad serta bendera Palestin selain turut melaungkan kata-kata 'Free Palestin', Hancur Zionis dan Bangsat USA dengan iringan paluan dram bagi menyatakan solidariti terhadap Gaza.

Selepas ke Dataran Merdeka, peserta himpunan akan terus berarak ke Padang Merbok sebagai check point terakhir.

Perhimpunan anjuran Sekreteriat Solidariti Palestin (SSP) itu turut disertai aktivis dan pemimpin politik antaranya Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Chua Tian Chang dan Hishamuddin Rais.

ORANG ramai ketika Himpunan Mega demi Rakyat Palestine “Hentikan Genocide” disekitar Kuala Lumpur. FOTO Aziah Azmee
ORANG ramai ketika Himpunan Mega demi Rakyat Palestine “Hentikan Genocide” disekitar Kuala Lumpur. FOTO Aziah Azmee

Perarakan dijangka akan mengambil jarak sejauh lima kilometer turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta anggota RELA yang membantu membuat kawalan trafik dan keselamatan membabitkan lebih 100 pegawai dan anggota.

Himpunan Mega Demi Palestin itu bermula pada 2.20 petang dengan peserta berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat menunju ke beberapa lokasi antaranya KLCC seterusnya ke Hotel Renaissance, Maju Junction, Sogo, Dataran Merdeka seterusnya check point terakhir di Padang Merbok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 4:46 PM